Sabtu, 9 September 2017 | 6:32pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) diringi Pengerusi Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Chai Kin Kong (tengah) dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Sri Adnan Md Ikhsan (kanan) melihat model rumah Desa Satumas pada pelancaran RUMAWIP dan sesi pengundian di Dewan Serbaguna Desa Valley Danau Desa Waterpark, Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

RUMAWIP Residensi Desa Satumas setaraf kondominium

 

KUALA LUMPUR: Pembeli Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Desa Satumas, Taman Desa, di sini, bakal memiliki rumah bertaraf kondominium pada harga mampu milik RM230,000 seunit.

 

Projek itu menawarkan 3,002 unit kediaman berkeluasan 850 kaki persegi, dalam tujuh blok setinggi 40 hingga 43 tingkat yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak letak kereta.

 

Pemilik bakal mendapat kemudahan kolam renang, kawasan rekreasi, dewan serbaguna dan gimnasium. 

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pihaknya gembira kerana pemaju setuju membina rumah mampu milik yang mempunyai kemudahan setaraf dengan pangsapuri mewah.

"Malah lokasi pembinaan projek ini berada di tengah bandar dengan jaringan akses beberapa lebuh raya akan memudahkan penduduk," katanya pada perasmian Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit RUMAWIP, di sini.

 

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Dr Loga Bala Mohan; Pengerusi Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Chai Kin Kong dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mustafar Kamal Mohd Yusoff.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan turut mengingatkan bakal pembeli jangan mudah terpedaya dengan sesetengah pihak yang mendakwa boleh mendapatkan unit RUMAWIP dengan bayaran hingga RM10,000.

"Jangan terpedaya kerana setiap permohonan perlu dibuat menerusi portal kementerian dan portal RUMAHWIP.

 

"Setiap permohonan melalui portal itu, menjalani saringan kelayakan yang dilakukan oleh kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Maka tiada orang tengah yang terbabit dalam penjualan RUMAWIP," tegasnya.

 

Katanya, sejak RUMAWIP diperkenalkan, KWP berjaya melaksanakan sejumlah 67,892 unit atau 85 peratus daripada sasaran keseluruhan 80,000 unit yang ditetapkan menjelang tahun 2020.

 

Tengku Adnan, berkata bagi Residensi Desa Satumas, kerajaan menetapkan 60 peratus kuota kediaman iaitu 1,801 unit kepada Bumiputera dan 40 peratus kepada pemilik bukan Bumiputera, iaitu 1,201 unit. 

INFO

  • 3,002 unit rumah Residensi Desa Satumas
  • 36 bulan tempoh pembinaan
  • RM230,000 seunit
1117 dibaca
Berita Harian X