Selasa, 19 September 2017 | 12:22am
KEADAAN rumah mangsa yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda selepas hujan lebat berterusan selama dua jam menyebabkan paras air meningkat di Kampung Rim, Jasin. - Foto Amir Mamat
KEADAAN rumah mangsa yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda selepas hujan lebat berterusan selama dua jam menyebabkan paras air meningkat di Kampung Taboh Naning, Alor Gajah. - Foto Ihsan Pembaca

6 kampung dilanda banjir kilat

MELAKA: Empat kampung di daerah Alor Gajah serta dua perkampungan di daerah Jasin, terjejas akibat banjir kilat yang melanda negeri ini sejak 5 petang tadi.

Hujan lebat berterusan selama dua jam itu menyebabkan paras air meningkat di Kampung Tanjung Rimau Luar; Kampung Kemus; Kampung Cherana Putih dan Kampung Taboh Naning di Alor Gajah, manakala sebanyak 18 kediaman di Kampung Rim dan Kampung Chabau di daerah Jasin turut terjejas akibat banjir kilat berkenaan.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Banjir Negeri (JPBN), Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata bagaimanapun sehingga jam 9 malam tadi tiada pusat pemindahan dibuka dan keadaan masih terkawal selepas hujan mulai reda.

"Bagi memastikan penduduk berada dalam keadaan selamat kita sudah menempatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kawasan terjejas dan memantau keadaan dari masa ke semasa.

"Buat masa ini keadaan terkawal dan ketinggian air hanya kira-kira 0.4 meter dan jika ketinggian di paras membimbangkan kita akan mengarahkan penduduk untuk berpindah ke pusat pemindahan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad, turut melawat 18 kediaman yang dinaiki air di Kampung Rim dan Kampung Chabau di Jasin, malam tadi.

"Siasatan awal oleh pihak Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mendapati laluan air di kedua kampung berkenaan tersekat selain keadaan hujan yang terlalu lebat selama dua jam.

"Bagaimanapun, sehingga jam 11.30 malam ini keadaan air mulai surut, namun pihak berkuasa akan sentiasa memantau kerana hujan masih turun di kawasan ini," katanya.

Turut mengiringi beliau, Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya; Yang Dipertua MPJ, Shadan Othman dan Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Jezlee Pit.

2174 dibaca
Berita Harian X