Khamis, 5 Oktober 2017 | 3:20pm
PENGERUSI Jawatankuasa Industri Asas Tani, Agrikultur dan Komoditi, Ahmad Bakri Ali melepaskan 54,647 benih ikan puyu dan lampan ke dalam Tasik Tasoh, Padang Besar, hari ini sempena Pra Pelancaran Gelombang Nelayan Nasional (GNN), peringkat Perlis. - Foto Azhar Ramli

54,647 benih puyu, lampam dilepaskan dalam Tasik Tasoh

PADANG BESAR: Sebanyak 54,647 benih ikan puyu dan lampam dilepaskan ke dalam Tasik Tasoh, di sini, hari ini sempena Pra Pelancaran Gelombang Nelayan Nasional (GNN), peringkat Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani, Agrikultur dan Komoditi, Ahmad Bakri Ali, berkata benih ikan yang dilepaskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia itu dijalankan serentak di seluruh Malaysia pada jam 10 pagi bertujuan untuk memberi kemudahan kepada nelayan tempatan.

"Kita sedia maklum bahawa nelayan di darat ada yang melakukan aktiviti penangkapan ikan sebagai kerjaya sepenuh masa, jadi melalui pelepasan benih ikan ini secara tidak langsung dapat meringankan bebanan mereka.

"Malah untuk tahun ini sahaja kita sudah melepaskan hampir setengah juta benih ikan di tasik ini bagi tujuan membantu nelayan darat," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran, hari ini.

Turut dilepaskan dilepaskan ke dalam Tasik Tasoh adalah 405,000 benih ikan lampam sungai, baung, udang galah, terbul, jelawat dan kerai sungai serta udang.

"Diharapkan suatu masa nanti, kawasan ini boleh memberikan pulangan dalam bentuk kehadiran pelancong ke negeri ini di masa akan datang," katanya.

Mengulas mengenai ikan pemangsa di Tasik Tasoh, Bakri berkata, pihaknya sedia maklum dan sedang menjalankan aktiviti bagi menangkap ikan berkenaan.

"Jika sebelum ini hanya ikan pemangsa Peacock Bass yang seolah memusnahkan ekosistem di dalam tasik ini, tapi kini kita dapati ada lagi dua jenis ikan pemangsa iaitu, Geophagus dan Melanocitus Johnsonii.

"Kita sedang mengawal pembiakannya ketiga spesis ikan ini dengan membenarkan pemancing tegar sekitar negeri ini atau dari luar memancing di tasik ini," katanya.

387 dibaca
Berita Harian X