Khamis, 12 Oktober 2017 | 2:26pm
DATUK Md Jais Sarday melakukan gimik majlis pelancaran program pengasingan sisa pepejal di punca, zon bersih lestari dan pelancaran penggunaan parking digital, di pentas utama Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar. - Foto Hairul Anuar Rahim

PBT Johor lancar tiga inisiatif tingkat kecekapan

ISKANDAR PUTERI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) melancarkan tiga inisiatif utama iaitu Sistem Parkir Digital, Program Pengasingan Sisa Pepejal Punca dan Program Zon Bersih yang akan meningkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian di kawasan pentadbiran masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Md Jais Sarday, berkata inisiatif itu bagi melahirkan masyarakat berdaya saing, menyediakan persekitaran kehidupan lebih baik dan tahap kebersihan lestari setara negara maju.

Katanya, penyertaan penjawat awam sama ada di peringkat jabatan negeri, jabatan persekutuan, universiti dan institut kemahiran dalam inisiatif itu mencerminkan satu iltizam dan komitmen tinggi dalam menjayakan agenda negara.

"Kalau kita lihat kehidupan hari ini, pendekatan inovatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam sangat mendesak seiring dengan perubahan masa.

"Ia mendesak kerana wujud jurang sangat luas dalam sistem tata kelola perkhidmatan awam jika dibandingkan dengan sektor swasta.

"Perkhidmatan awam yang lama dan tidak dikemaskini akan hanya merumitkan dan melambatkan pertumbuhan serta transformasi ekonomi negeri mahupun negara.

"Justeru, wujud keperluan yang sangat wajar untuk kita memastikan sistem perkhidmatan awam sentiasa produktif, cekap, amanah dan telus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Eco-Inisiatif PBT Ke Arah Johor Berkemajuan Peringkat Negeri sempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Mohd Khir Johari Salleh. Md Jais berkata, Majlis Bandaraya Johor Bahru melaksanakan sistem parkir menggunakan konsep sistem kupon hibrid dan aplikasi MBJB spot, manakala Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah juga membawa kepada revolusi kepada pengurusan pembayaran tempat letak kereta menerusi SMSParkir.

Katanya, PBT kini berdepan cabaran lebih besar untuk memastikan kawasan dalam pentadbiran mereka dikawal selia dengan rapi, konsisten dalam menyediakan prasarana awam yang mencukupi dan kekal lestari.

Terdahulu, Md Jais hadir pada Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Johor, Taman Laman Indah 1 kepada 20 penerima membabitkan jenis rumah teres dua tingkat yang dijual pada harga RM150,000 seunit.

107 dibaca
Berita Harian X