Khamis, 12 Oktober 2017 | 3:04pm
MANGSA banjir di tempatkan di dalam khemah di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar. - Foto Sharul Hafiz Zam
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar bergotong-royong membersihkan persekitaran Sekolah Kebangsaan Bukit Pinang yang dilanda banjir kilat semalam. - Foto Sharul Hafiz Zam

Khemah NADMA mudahkan mangsa banjir

ALOR SETAR: Berlindung di pusat pemindahan banjir bukan pengalaman menyenangkan, terutama apabila terpaksa melupakan seketika keselesaan, dengan berhimpit bersama-sama mangsa yang ramai.

Bagi seorang warga emas, Lijah Debok, 80, kesukaran yang terpaksa dilaluinya bertambah rumit berikutan keadaan dirinya yang terlantar akibat serangan angin ahmar.

Ini diakui anaknya, Rohani Yaakob, 58, namun bernasib baik apabila disediakan khemah khas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memudahkan mangsa banjir khususnya yang berkeperluan khas seperti ibunya itu.

"Dengan khemah khas ini, kami boleh tempatkan ibu di tingkat bawah, tanpa perlu melalui kesukaran untuk mengangkatnya ke bilik darjah yang dikhususkan kepada mangsa banjir di tingkat lebih tinggi.

"Terima kasih Jabatan Perdana Menteri yang menyediakan khemah ini melalui Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang banyak membantu mangsa banjir seperti ibu saya," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Abu Bakar, di Bukit Pinang, di sini.

Rohani dan keluarga dari Kampung Teluk di Bukit Pinang, di sini, adalah antara mangsa banjir yang kini berlindung di beberapa pusat pemindahan yang dibuka susulan banjir daerah ini sejak semalam.

Sementara itu, Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataan di sini, mengesahkan jumlah mangsa banjir kilat yang ditempatkan di pusat pemindahan di daerah ini meningkat kepada 130 orang berbanding 116 orang pagi tadi.

Katanya, semua mangsa membabitkan 27 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan yang masih dibuka di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

"Di Kota Setar pusat pemindahan yang dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Abu Bakar menempatkan 26 mangsa daripada tujuh keluarga, manakala 17 mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di Maahad Darul Hasimie.

"Di Kubang Pasu, 87 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Lahar, Jitra dan semua mangsa dijangka dibenarkan pulang selewat-lewatnya petang ini berikutan keadaan cuaca yang semakin elok," katanya.

Sementara itu, sepasukan 10 anggota dan seorang pegawai APM Kedah turun padang membantu membersihkan SK Bukit Pinang yang terjejas akibat banjir kilat semalam.

Pembantu Pegawai Operasi APM Kota Setar, Leftenan Muda (PA), Muhammad Elias Md Nor, berkata kerja pembersihan bermula seawal jam 9 pagi membabitkan bilik darjah, dewan dan bilik Teknologi Maklumat IT selepas ruang bawah sekolah ditenggelami air sehingga paras lutut.

"Sekolah ini kerap dinaiki air, mungkin disebabkan sistem perparitan yang lemah, masalah itu juga menyebabkan air lambat surut. Tahun ini saja saya difahamkan sudah beberapa kali SK Bukit Pinang dinaiki air.

"Bagi mengurangkan beban guru dan kakitangan, anggota APM mengadakan gotong royong membersihkan kerusi, meja dan peralatan terjejas," katanya.

391 dibaca
Berita Harian X