Khamis, 12 Oktober 2017 | 3:42pm
MARIAM Yazmin El Bacha (empat dari kiri) bersama kakitanganya di hadapan cawangan baharu MBO Cinemas di Kuantan City Mall.- Foto Shahrinnahar

MBO Cinemas tawar tiket percuma empat hari

KUANTAN: MBO Cinemas menawarkan tiket percuma bagi beberapa filem terpilih selama empat hari bermula hari ini, sempena pembukaan pawagam terbaharunya di pusat beli belah Kuantan City Mall.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket percuma itu bagi menonton filem Kingsman: The Golden Circle, IT, The LEGO Ninjago Movie dan Didi and Friends.

Pengarah Operasi MBO Cinemas, Mariam Yazmin El Bacha, berkata tiket percuma perlu diambil 45 minit sebelum tayangan bermula dan hanya satu tiket untuk setiap pelanggan.

"Tiket percuma ini adalah hadiah pihak kami sempena pembukaan cawangan ke-26. Malah ini adalah satu-satunya pawagam di Pantai Timur yang menampilkan tiga panggung wayang yang unik dan menarik.

"Ia termasuk MBO Kecil, MBO Big Screen dan MBO MX4D. Kita yakin dengan penampilan unik ini akan memberi nafas baharu kepada penonton," katanya ditemui selepas Majlis Pra-tonton Media Eksklusif sempena pembukaan pawagam MBO cawangan baharu di Kuantan City Mall di sini, hari ini.

Beliau berkata, pawagam baharu ini menawarkan enam dewan (hall) tayangan standard serta tiga dewan unik dan boleh memuatkan 1,329 penonton dalam satu-satu masa.

"Konsep baharu inu membolehkan penonton memilih cara mereka mahu menonton filem. Mereka boleh memilih untuk membawa seisi keluarga atau merasai pengalaman menonton dengan teknologi tercanggih dan terkini," katanya.

Katanya, MBO kecil adalah panggung yang menyediakan ruang untuk ibu bapa dan anak-anak dengan menonton bersama-sama, manakala panggung MBO Big Screen pula dilengkapi pelbagai teknologi canggih terkini termasuk tahap kecerahan yang menakjubkan serta prestasi warna yang unggul.

MBO MX4D pula adalah panggung yang dilengkapi dengan kerusi 4D motion yang akan bergerak dan mempunyai kesan khas seiring aksi filem di skrin.

"Justeru, saya yakin penonton akan teruja dan berpuas hati dengan pengalaman sinematik berteknologi tinggi ini sehinggakan mereka terlupa bahawa sebenarnya berada di dalam panggung wayang," katanya.

6390 dibaca
Berita Harian X