Khamis, 12 Oktober 2017 | 4:57pm

Sibu jadi bandar budaya

SIBU: Penganjuran Festival Tanglung Sibu 2017 yang diiktiraf sebagai acara terbesar seumpamanya pernah dianjurkan di negara ini berupaya mempromosikan Sibu sebagai bandar budaya.

Bermula 3 Oktober lalu, pesta berkenaan yang dianjurkan Pesta Pertengahan Musim Luruh dan Perayaan Kuih Bulan 2017 turut menarik kunjungan pelancong, khususnya dari China ke bandar ini.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Datuk Tiong Thai King, berkata penganjuran festival itu juga sebagai platform mempromosikan warisan kesenian dan kebudayaan masyarakat Cina sejak ratusan tahun lalu.

"Kita tidak mahu Sibu hanya dikenali sebagai pusat perniagaan dan perdagangan, khususnya dalam sektor perkayuan dan industri perkapalan, sebaliknya sebagai bandar budaya melalui penganjuran program sebegini.

"Ia berpotensi menjadi aset pelancongan untuk negeri ini, seterusnya mampu menarik kunjungan pelancong asing bagi melihat sendiri keunikan seni dan budaya warisan masyarakat Cina di sini," katanya selepas meninjau tapak festival di Dataran Sibu, di sini hari ini.

Katanya, acara itu juga medan terbaik untuk menyemarakkan lagi perpaduan nasional melalui pertunjukan kebudayaan yang turut ditonton dan dinikmati pengunjung berbilang bangsa.

"Pendedahan kepada budaya berbeza penting kepada pertumbuhan sihat masyarakat. Bila kita didedahkan kepada budaya komuniti lain, kita dapat memahami mereka secara lebih dekat, sekali gus mengukuhkan perpaduan antara masyarakat.

"

Nilai murni itu mencerminkan budaya, budaya pula mencerminkan perlakuan, perlakuan akan mencerminkan bagaimana masyarakat dibentuk oleh nilai murni yang diajar di dalam sesebuah budaya itu," katanya.

Festival Tanglung Sibu 2017 anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Cina Sibu (SCCCI) membabitkan kos RM500,000. 

Ia membabitkan pelbagai jenis tanglung gergasi berbentuk 12 zodiak atau simbol tuah yang menjadi kepercayaan masyarakat Cina.

Presiden SCCCI, Dr Gregory Hii, berkata penganjuran festival tanglung itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya bagi membantu kempen Tahun Melawat Sibu 2017.

"Kita turut mengambil peluang mempromosikan acara ini ketika menyertai pameran perdagangan di Johor dan Singapura, Ogos lalu.

"Keseluruhannya, 70 syarikat korporat dan individu memberi respon positif kepada permohonan sokongan kewangan bagi menganjurkan acara ini," katanya.

122 dibaca
TANGLUNG utama di Festival Tanglung Sibu adalah tanglung bulat tradisional yang dipuncaknya diletakkan maskot Tahun Melawat Sibu iaitu Bubu (Buaya Sibu). - Foto Harun Yahya
PENGERUSI MPS yang juga ADUN Dudong, Datuk Tiong Thai King menyampaikan sijil penyertaan pertandingan membuat tanglung kepada salah seorang wakil peserta dari parti SUPP. - Foto Harun Yahya
Berita Harian X