Khamis, 12 Oktober 2017 | 5:48pm
DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.- Foto Mohd Fadli Hamzah

Wan Junaidi terima anugerah DGSM

AYER KEROH: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendahului senarai 1,047 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob Ke-79, Sabtu ini.

  

Wan Junaidi menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar pada sidang media hari ini, berkata majlis penganugerahan berkenaan akan dijalankan dalam tiga sesi iaitu Sabtu serta 4 dan 5 November depan.

Katanya, seramai 215 individu akan menerima anugerah pada Sabtu, manakala selebihnya membabitkan 432 dan 400 individu bagi sesi 4 dan 5 November.

Selain Wan Junaidi, seramai 11 lagi penerima DGSM antaranya Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Wira Md Yunos Husin dan ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir atau Tan Sri Jojo.

Seramai 30 individu menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira antaranya, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique dan Ketua Setiausaha Sulit Pejabat Perdana Menteri, Datuk Iskandar Mohd Kaus.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abd Jalil Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Saiful Azly Kamaruddin, antara 11 penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Seramai 121 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk antaranya isteri Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datin Wira Halimah Baba; Ketua Pengarah Jabatan Arkib, Azemi Abdul Aziz dan jurutera struktur Menara Jam Abraj al-Bait Makkah, Wan Nazri Wan Aria.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Times Sdn Bhd dan perunding media, Anbumani Balan; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Cetak Star Media Group Berhad, Kan Kin Seong dan Ketua Pengarang China Press Sdn Bhd, Teoh Yang Khoon.

Sementara itu, seramai 57 individu menerima Darjah Seri Melaka (DSM), 62 menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM); 194 menerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT); 325 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK); 213 menerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan 22 menerima Pingat Khidmat Lama (PKL).

699 dibaca
Berita Harian X