Ahad, 22 Oktober 2017 | 6:51pm
PEMAIN import Kedah, Sandro da Silva Mendonca (kanan) menerima replika lesen memandu daripada Ismasuhaimi (tengah) dan wakil Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Sazali Mohd Sobri selepas lulus ujian memandu dua bulan lalu di Pejabat JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam
PEMAIN import Kedah, Sandro da Silva Mendonca menunjukkan lesen memandunya. - Foto Sharul Hafiz Zam

Ramai peserta MyLesen gagal

ALOR SETAR: Lebih 12,000 peserta yang mendaftar dalam program MyLesen di Kedah gagal menamatkan kursus, sekaligus tidak memiliki lesen memandu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Ismasuhaimi Shariff, berkata jumlah itu sebahagian besar daripada 22,000 peserta yang mendaftar melalui program bertemakan '1Rakyat 1Lesen' sejak diperkenalkan pada 2014.

Ini bermakna, katanya, tidak sampai 10,000 peserta yang berjaya menamatkan kursus.

"Antara kekangan peserta ialah gagal menamatkan semua kursus 21 jam termasuk ujian menunggang motosikal disebabkan ada yang berpindah atau menyambung pengajian di tempat lain.

"Bagi yang menyambung pengajian ke negeri lain, mereka boleh mengambil ujian dan kursus di negeri berkenaan dan hanya memerlukan surat pengesahan daripada JPJ dan institut memandu.

"Jangan berhenti sekerat jalan kerana program ini memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan termasuk pelajar yang berusia 16 tahun ke atas, dengan kos yang perlu dibayar cukup murah, iaitu hanya RM299," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan lesen memandu DA (kereta automatik) kepada pemain import Kedah, Sandro da Silva Mendonca di Pejabat JPJ negeri di Jalan Suka Menanti di sini.

Ismasuhaimi berkata, Mendonca yang juga pemain kelahiran Brazil antara individu yang boleh dijadikan contoh kepada peserta MyLesen apabila berjaya menamatkan kursus 21 jam serta ujian dalam tempoh dua bulan, walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan supaya warga asing sama ada yang bekerja dan belajar di negeri ini mengambil lesen memandu Malaysia bagi memudahkan proses semakan JPJ.

"Bagi warga asing yang memiliki lesen di negara asal, mereka hendaklah membuat pengesahan mengikut kelas lesen di kedutaan masing-masing bagi mengelak berlaku kekeliruan semasa pemeriksaan JPJ.

"Lesen negara asing ini sudah pasti dikeluarkan dalam bahasa mereka dan sukar untuk anggota JPJ menentukan ia sah atau tidak. Jika mendapat pengesahan di kedutaan, lebih mudah untuk kami melihat jenis lesen yang dimiliki untuk tujuan pemeriksaan dan pengesahan," katanya.

Sementara itu, Mendonca menyifatkan lesen yang diperolehi daripada JPJ sebagai kegembiraan berganda untuk selepas meledakkan dua gol untuk menewaskan FELDA United dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam kelmarin.

"Saya gembira dapat memandu kereta sendiri selepas ini dan rasa lebih semangat untuk menyertai latihan seterusnya beraksi dalam perlawanan akhir menentang Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.

4192 dibaca
Berita Harian X