Jumaat, 3 November 2017 | 5:38pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merasmikan Majlis Pelancaran Logo DBOS di Kuching, hari ini. - Foto Nadim Bokhari

DBOS beroperasi 2018

KUCHING: Sarawak tidak boleh sekadar menunggu bantuan untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membangunkan ekonomi digital, yang dirangka bagi memperkukuhkan ekonomi negeri pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, selepas beliau diberi kepercayaan memimpin kerajaan negeri Februari lalu, perkara pertama yang beliau lakukan ialah meneroka model kewangan yang inovatif di negara lain.

Beliau berkata, hasilnya model kewangan daripada negara maju itu diguna pakai untuk membiayai projek strategik bagi membangunkan Sarawak.

"Kini, kita memiliki institusi perbankan sendiri, iaitu Bank Pembangunan Sarawak atau DBOS yang kita wujudkan untuk membangunkan ekonomi digital negeri. DBOS menyediakan pelbagai kemudahan, antaranya pinjaman dan kemudahan kredit pusingan untuk pembiayaan modal kerja," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Logo DBOS, di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani yang juga Pengerusi DBOS.

Abang Johari ketika mengulas lanjut, berkata, apabila DBOS beroperasi secara rasmi pada Januari 2018, bank pembiayaan itu akan mempunyai modal berbayar sebanyak RM500 juta.

"Penubuhan DBOS tepat pada masanya ketika Sarawak sedang dalam usaha untuk membangunkan ekonomi dengan sumber sendiri. Kita bernasib baik kerana mempunyai rizab kewangan yang besar daripada pemimpin sebelum saya, Tun Abdul Taib Mahmud dan Tan Sri Adenan Satem.

"Namun, jika rizab terlalu besar juga bukan sesuatu yang baik jika kita tidak menggunakan wang itu untuk melabur dan meningkatkan penggunaan domestik. Ahli ekonomi tahu, jika kita tidak menggunakan rizab untuk melabur, kita akan kehilangan peluang kerana tidak memanfaatkan wang itu," katanya.

Abang Johari berkata, apa yang beliau maksudkan ialah terdapat keperluan untuk memastikan keseimbangan antara rizab dan pelaburan tanpa mengurangkan rizab dan itu peranan utama DBOS.

248 dibaca
Berita Harian X