Isnin, 13 November 2017 | 7:51pm
TUNKU Temenggong Kedah selaku Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim (tengah) yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah bergambar dengan pegawai daerah pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Bencana Alam di Keriang Hill Resort, Gunung Keriang. - Foto BERNAMA

YSB bantu mangsa banjir

ALOR SETAR: Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) mengagihkan sumbangan hampir RM50,000 kepada 10 daerah yang terbabit dengan bencana banjir, bagi menampung kos kerja membaik pulih rumah.

Pengurus Besarnya, Misbah Abdul Hamid, berkata sumbangan terbabit diberikan kepada pegawai daerah bagi membolehkan ia disalurkan kepada mereka yang layak.

Katanya, sumbangan itu diserahkan secara berperingkat-peringkat menerusi tiga fasa, iaitu fasa pertama pada Ogos, kedua pada September dan ketiga pada hari ini.

"Fasa pertama membabitkan daerah Baling sebanyak RM10,000 manakala, fasa kedua diserahkan kepada daerah Kota Setar sebanyak RM5,000, diikuti fasa ketiga hari ini, iaitu lapan daerah sebanyak RM33,000.

"Lapan daerah itu ialah Kuala Muda, Kulim, Kubang Pasu dan Pendang masing-masing sebanyak RM5,000; daerah Bandar Baharu, Yan dan Langkawi masing-masing RM3,000 manakala daerah Pokok Sena menerima sebanyak RM4,000," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Bencana Alam di Gunung Keriang, di sini hari ini.

Terdahulu, Tunku Temenggong Kedah selaku Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim perkenan menyampaikan sumbangan terbabit kepada lapan pegawai daerah.

Misbah berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi sumbangan makanan dan minuman serta perkakasan mencuci rumah kepada mangsa banjir di setiap daerah.

"Kami juga bekerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau banjir dan membawa makanan ke tempat yang sukar dilalui oleh kenderaan biasa," katanya.

Kedah dilanda banjir sebanyak tiga kali iaitu pada Ogos membabitkan daerah Baling, September di daerah Kota Setar disusuli kali ketiga membabitkan lapan daerah lagi.

95 dibaca
Berita Harian X