Selasa, 14 November 2017 | 5:41pm
EXCO Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Lim Ban Hong pada sidang media penutup Makmal Rancangan Induk Pengangkutan Awam dan Trafik Edisi 2 Bandaraya Melaka di Hotel Swiss Garden. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Melaka garis 5 tindakan atasi kesesakan

MELAKA: Kerajaan negeri menggariskan lima rancangan, termasuk mewujudkan satu aplikasi khas kepada pengguna jalan raya bagi menangani masalah kesesakan di pusat bandar dalam tempoh 10 tahun akan datang.

EXCO Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa negeri, Datuk Lim Ban Hong, berkata usaha itu akan membabitkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta beberapa jabatan lain, yang turut mengkaji sistem pengangkutan awam dengan lebih komprehensif.

Beliau berkata, ia adalah antara usaha kerajaan negeri bagi menangani masalah itu berikutan peningkatan jumlah kenderaan memasuki pusat bandar, terutama pada waktu puncak dan hujung minggu.

"Pertama, penyuraian trafik dengan kita sedang merancang mewujudkan aplikasi khas menerusi kerjasama syarikat aplikasi Waze bagi memudahkan pengguna mengenal pasti laluan yang sesuai dan tidak sesak.

"Kedua, tempoh menunggu pengangkutan awam dipendekkan menjadi 10 hingga 20 minit, mewujudkan kawasan parkir, zon bebas kenderaan dan laluan pejalan kaki," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Makmal Rancangan Induk Pengangkutan Awam dan Trafik Edisi II Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Hussin.

Ban Hong berkata, kerajaan negeri sentiasa memikirkan langkah penyelesaian bagi mengurangkan jumlah kenderaan memasuki ke pusat bandar.

"Tindakan ini bukanlah jalan penyelesaian jangka panjang, sebaliknya kita mahu memperkasakan pengangkutan awam yang dapat memanfaatkan banyak pihak," katanya.

156 dibaca
Berita Harian X