Selasa, 14 November 2017 | 6:23pm
SEMBILAN keluarga daripada tiga kampung di Jempol terjejas apabila kediaman mereka dinaiki air akibat hujan berterusan sejak 5 petang semalam. - Foto BERNAMA

Bomba bantu penduduk pulang ke rumah

BANDAR SERI JEMPOL: Pasukan bomba membantu lebih 50 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Sampo di sini, pulang ke rumah masing-masing selepas laluan utama ke kampung itu dinaiki air akibat hujan lebat sejak pagi tadi.

Kampung itu dilanda banjir kilat akibat hujan lebat sejak jam 6 pagi dan menyebabkan air naik sehingga paras satu meter, manakala jalan masuk ke kampung itu tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Roslan Seman, berkata pihaknya menerima maklumat itu pada jam 12.37 tengah hari dan seramai 18 pegawai serta anggota dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang bergegas ke lokasi.

Katanya, bomba menggunakan kenderaan pacuan empat roda, lori dan bot untuk membawa penduduk yang terputus hubungan akibat hujan lebat lebih enam jam.

"Kita membantu lebih 50 penduduk termasuk murid dan pelajar sekolah berhampiran yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing akibat jalan utama dinaiki air," katanya di sini, hari ini.

Roslan berkata, bomba masih menjalankan pemantauan di lokasi dan mendapati sejak tadi, air mulai surut.

Kawasan lain yang turut dilanda banjir kilat termasuk Kampung Sungai Taling, Kampung Bukit Perah, Kampung Lonek, Kampung Gajah Mati dan Jalan Serting Tengah.

566 dibaca
Berita Harian X