Selasa, 14 November 2017 | 6:39pm
SHAHURINAIN Jais

Latihan pengungsian di BSI, JB Sentral

JOHOR BAHRU: Program latihan pengungsian bangunan, iaitu perpindahan yang membabitkan kira-kira 200 petugas dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral akan diadakan pada Khamis ini.

Program latihan pengungsian bangunan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak pengurusan bangunan Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu akan diadakan antara jam 1 hingga 2 pagi hari berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, turut menasihatkan orang awam supaya tidak cemas semasa latihan itu dan pengguna kedua-dua bangunan itu diharapkan dapat merancang perjalanan mereka.

Katanya, program latihan pengungsian itu kegiatan tahunan yang dijalankan bagi memastikan agensi kerajaan berkaitan sentiasa berada di dalam keadaan siapsaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, jika berlakunya kecemasan.

"Latihan pengungsian ini dijalankan untuk memberi pengetahuan yang lebih mendalam kepada petugas dan juga pengguna di bangunan ini mengenai kepentingan latihan keselamatan pengungsian bangunan mengikut kaedah Majlis Keselamatan Negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, program latihan itu dilaksanakan sejak 2011 membabitkan kedua-dua bangunan berkenaan dan PDRM menggunakan pelbagai senario latihan seperti gegaran, gempa bumi, tumpahan bahan kimia, ancaman bom dan serangan pengganas.

339 dibaca
Berita Harian X