Selasa, 14 November 2017 | 6:47pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Mohd Jidin Shafie.

PPPA mampu jimatkan kos kerajaan negeri

KUALA TERENGGANU: Cadangan kerajaan persekutuan untuk mengambil alih kerja penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan menubuhkan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam (PPPA) mampu menjimatkan kewangan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Mohd Jidin Shafie, berkata langkah itu juga mampu meringankan tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap PPR di negeri ini.

Beliau berkata, kos penyelenggaraan PPR di negeri ini terutamanya membabitkan kerosakan lif agak tinggi dan ia ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menubuhkan PPPA bagi melakukan penyelenggaraan PPR.

"Kerajaan negeri mencadangkan KPKT menyediakan peruntukan khas untuk kerja penyelenggaraan pelbagai kerosakan PPR.

"KPKT tidak boleh seratus peratus mengharapkan hasil kutipan sewa dari penghuni untuk membiayai kos penyelenggaraan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Jidin berkata, KPKT juga diminta membuat kajian secara menyeluruh agar penubuhan PPPA untuk melakukan kerja penyelenggaraan tidak membebankan penghuni.

"Setakat ini hanya satu projek PPR dilaksanakan di negeri ini iaitu di Padang Hiliran, Kuala Terengganu," katanya.

114 dibaca
Berita Harian X