Rabu, 15 November 2017 | 12:35pm
BANJIR yang melanda Kampung Kubang Betong, Changlun pagi tadi berikutan hujan lebat sejak petang kelmarin menyebabkan beberapa penduduk di kawasan itu berpindah ke PPS SMK Changlun, hari ini. - Foto Ihsan APM

Changlun dilanda banjir kilat

JITRA: Seramai 178 penduduk membabitkan 45 keluarga di sekitar Changlun dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di sini, susulan banjir kilat.

Semua mangsa membabitkan enam kampung meliputi Kampung Belukar, Kampung Nang Mah, Kampung Baru, Kampung Kubang Betong, Kampung Wang Perah dan Kampung Changkat Setoi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamaruzamal Kasa, berkata hujan lebat lebih lima jam bermula 7 malam tadi menyebabkan paras air meningkat dan bertakung di beberapa kawasan.

"Bilangan mangsa di pusat pemindahan di SMK Changlun pada jam 9 pagi tadi ialah 127 orang iaitu dari Kampung Belukar dan bertambah menjadi 178 mangsa 11 pagi ini.

"Kita jangkakan bilangan mangsa terus bertambah kerana ada banyak kawasan masih dinaiki air dan keadaan mungkin lebih buruk jika hujan berterusan petang ini.

"Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu sedia menghadapi kemungkinan khususnya memindahkan lebih ramai mangsa di kawasan berisiko rendah," katanya.

Kamaruzamal berkata, penduduk yang tinggal berhampiran sungai diminta segera berpindah jika perlu berbuat demikian bagi mengelak sebarang risiko.

"Mereka boleh memaklumkan kepada penghulu atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing untuk mendapatkan bantuan atau menggunakan talian MERS 999 bagi pemindahan segera," katanya.

998 dibaca
Berita Harian X