Rabu, 15 November 2017 | 1:00pm
MANGSA banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dewan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Lorong Telekom 4 pagi hari ini. - Foto Ihsan APM

59 mangsa banjir di Muar, Batu Pahat ditempatkan di PPS

BATU PAHAT: Seramai 59 mangsa banjir masih berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Batu Pahat dan Muar, selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak awal pagi semalam.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Mohd Haffiz Ahmad, berkata sehingga jam 10.30 pagi tadi, seramai 37 mangsa dari 11 keluarga di daerah ini masih ditempatkan di PPS di Dewan Pusat Khidmat Penyayang, Air Hitam yang dibuka sejak kelmarin.

"Antara kawasan terjejas ialah Lorong Budin di Kilometer 31.5 Jalan Batu Pahat-Air Hitam, Kampung Parit Khalil dan Kampung Parit Samion.

"Keadaan cuaca pada hari ini baik dan banjir juga mulai surut. Kita menjangkakan penduduk akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selewat-lewatnya petang ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Di Muar, seramai 22 penduduk dari lima keluarga di Kampung Sungai Pulai masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Tohor yang dibuka sejak jam 11 malam, semalam.

Pegawai Daerah Muar, Onn Jabbar, berkata semua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan selepas kediaman mereka digenangi air selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan.

"Hanya satu kawasan sahaja yang terbabit dengan kejadian banjir kali ini iaitu di Kampung Sungai Pulai yang terletak di Mukim Sungai Balang. Keadaan cuaca baik hari ini dan berharap air banjir akan cepat surut.

"Bagaimanapun, pihak berwajib akan terus membuat pemantauan secara berterusan di lokasi terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk khususnya mangsa banjir akan mendapat perhatian sewajarnya," katanya.

Sementara itu, keadaan banjir di Johor Bahru sudah pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Nam Heng ditutup sepenuhnya kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

677 dibaca
Berita Harian X