Rabu, 15 November 2017 | 1:11pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanna) ketika hadir pada Sidang DUN Kedah, hari ini. - Foto Amran Hamid

Kedah sasarkan 1 DUN 1 PPR

ALOR SETAR: Kerajaan negeri berhasrat membangunkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di semua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, bagi memenuhi keperluan rakyat khususnya dalam kategori berpendapatan rendah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata untuk projek PPR berkenaan keutamaan pemilikan akan diberikan kepada orang tempatan iaitu penduduk asal di kawasan DUN masing-masing.

"Kerajaan mengetahui keperluan perumahan bukan sahaja di Kedah, namun di seluruh negara dan kita akan pastikan supaya rumah yang dibina ini mencukupi mengikut keperluan.

"Di Kedah rumah PPR dibina oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan hasrat kita adalah untuk memastikan setiap DUN sekurang-kurangnya mempunyai satu projek rumah PPR," katanya menjawab soalan lisan Nor Saidi Nanyan (BN - Kuah) ketika Sidang DUN Kedah, hari ini.

Mengenai tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan rumah di Langkawi, Ahmad Bashah berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah mengumumkan pembinaan 1,000 unit rumah PPR untuk tujuan itu.

"Untuk Langkawi bermakna semua dua DUN di kawasan Parlimen itu iaitu Kuah dan Ayer Hangat akan mempunyai rumah PPR.

"Selain itu beberapa kawasan lain termasuk Alor Setar juga mempunyai rumah PPR," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Bashah berkata adalah amat penting bagi memastikan hanya penduduk tempatan yang layak sahaja menduduki rumah PPR, berikutan kerajaan memberi subsidi yang sangat besar sehingga RM115,000 bagi setiap kediaman.

"Kos bagi pembinaan rumah PPR mencecah RM150,000 sedangkan kerajaan menjualnya kepada mereka yang layak pada harga RM35,000.

"Ini sekali gus bermakna kerajaan memberi subsidi yang agak banyak, " katanya.

Menjawab soalan sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada Langkawi bagi pembinaan rumah berikutan permintaannya yang tinggi.

"Antara usaha dilakukan kerajaan negeri adalah dengan membuka zon pertanian untuk pembinaan rumah, selain meluluskan 150 lot tanah bagi rumah bina negara (Rumah BN)," katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau), Badrol Hisham berkata kerajaan negeri yakin boleh mencapai sasaran membina 40,000 rumah mampu milik seperti dijanjikan dalam Akujanji Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

"Sehingga kini sebanyak 25,000 rumah Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diluluskan di Kedah, manakala bagi Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) pula sebanyak 8,000 unit," katanya.

111 dibaca
Berita Harian X