Rabu, 15 November 2017 | 1:29pm
AHLI Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam beramah mesra dengan pelajar pada Majlis Amal Sumbangan Bantuan Alat Tulis Kepada Murid Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di Sekolah Kebangsaan Datuk Maharaja Lela, Ijok. - Foto Faiz Anuar

Isu tanah Sungai Yu: Siasatan perlu bantu golongan miskin

IJOK: Skandal pemberian tanah di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor perlu diberikan perhatian serius dan mesti ada siasatan secara terperinci bagi membantu golongan tertindas.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam, berkata jika masalah itu diambil mudah, kemungkinan besar akan timbul masalah lain sehingga menyebabkan golongan bawahan semakin dipinggirkan.

"Perhatian serius dan siasatan terperinci perlu dilakukan untuk mengelak masalah salah anggap seperti menganaktirikan sesetengah golongan dan ini pastinya menimbulkan golongan terbabit.

"Kita takut berlakunya konsep perbezaan darjat, yang kaya akan bertambah kaya dan miskin berasakan ditindas," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) di Parlimen, merasmikan Majlis Amal Sumbangan Bantuan Alat Tulis Kepada Murid Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di Sekolah Kebangsaan Datuk Maharaja Lela, dekat sini.

Irmohizam berkata, beliau berharap agensi penguatkuasaan memberikan pembelaan sewajarnya kepada penduduk asal kampung berkenaan yang secara terang-terangan dilihat ditindas oleh kerajaan negeri.

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, minggu lalu, ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Razak membangkitkan kredibiliti EXCO Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, yang memberi jawapan bertulis mengandungi maklumat palsu, berhubung isu penyerahan surat kelulusan tanah dan borang 5A kampung berkenaan.

Antara maklumat palsu itu membabitkan senarai 18 nama penerima yang menggunakan kad pengenalan palsu selain penerima tanah adalah penduduk luar Selangor.

Berikutan itu, semalam, Sulaiman menyerahkan surat permohonan kepada Speaker DUN, Hannah Yeoh, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) bagi meminta siasatan dan pendengaran awam dilakukan segera.

Difahamkan, tanah berkeluasan 14 hektar itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, 27 April 2016 bagi tujuan kediaman kepada 175 pemohon membabitkan 154 pemohon India, Melayu (20) dan Cina (1).

107 dibaca
Berita Harian X