Rabu, 15 November 2017 | 1:44pm
TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Roslan Wahab (empat dari kiri) bergambar bersama orang ramai pada Majlis Pentauliahan Pasukan Siswa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (SISPA) peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2017, hari ini. - Foto Izhari Ariffin

APM Sabah perkukuh persediaan hadapi banjir

KOTA KINABALU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah kini giat memperkukuhkan persediaan dari segi keanggotaan dan aset dalam usaha menghadapi banjir sempena musim tengkujuh di negeri ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Roslan Wahab, berkata secara umumnya pihaknya sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir di beberapa daerah, khususnya pedalaman dan pantai barat Sabah yang biasa melanda setiap kali musim tengkujuh.

Beliau berkata, setakat ini persediaan pasukan itu di Sabah berada dalam keadaan baik sama ada dari segi keanggotaan dan aset yang mencukupi, selain mampu menampung keperluan sepanjang bencana alam terbabit.

"Ketika ini semua anggota bersiap siaga selain aset termasuk jentera dan bot sudah diselenggara dengan baik agar tidak mengalami kerosakan. Selain itu, kita mengarahkan semua anggota agar memantapkan diri masing-masing secara fizikal mahupun mental.

"Kita mahu memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk terutama apabila berlakunya banjir. Oleh itu, persiapan rapi daripada pelbagai aspek harus diambil kira." katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Pasukan Siswa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (SISPA) peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2017, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pemangku Pengarah APM Sabah, Mohd Izaimi Md Daud dan Komandan Pasukan Siswa APM, UMS, Prof Dr Shahril Yusof.

Pada majlis itu, seramai 57 anggota kadet SISPA UMS ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda.

Dalam perkembangan berkaitan, Roslan meminta penduduk khususnya yang tinggal di kawasan rendah atau berhampiran sungai supaya berwaspada sekiranya mendapati paras sungai semakin meningkat.

"Kita juga berharap penduduk mematuhi segala arahan pihak berkuasa terutama arahan berpindah ke pusat pemindahan sementara bagi mengelak kejadian tidak diingini ketika banjir," katanya.

80 dibaca
Berita Harian X