Rabu, 15 November 2017 | 1:54pm

Anggota ESSCOM jalani kursus tempur dasar laut

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan menghantar anggotanya untuk menjalani kursus tempur di dasar laut (Sea Combat Course) yang akan dijalankan dengan pasukan keselamatan Sri Lanka.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, kursus itu bertujuan mendedahkan anggota keselamatan di bawah ESSCOM dengan pengetahuan dan kemahiran dimiliki pasukan keselamatan Sri Lanka dalam mengawal perairan mereka.

"Seperti yang kita tahu, kepakaran dan silibus yang diguna pakai oleh Sri Lanka dalam mengawal perairan mereka diiktiraf seluruh dunia. Saya telah berjumpa dengan pihak keselamatan Sri Lanka dan mereka mengalu-alukan kedatangan anggota kita (ESSCOM) ke negara mereka.

"Kira-kira 15 hingga 20 anggota dari tiga agensi di bawah ESSCOM akan dihantar menjalani kursus terbabit yang dijangka diadakan di Sri Lanka pada tahun depan," katanya kepada media sempena Perhimpunan Bulanan ESSCOM di Dewan Serbaguna Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan.

Sementara itu, Hazani berkata, ESSCOM akan mewujudkan pos kawalan baharu di Pulau Ligitan di Tawau bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di kawasan terbabit yang terletak berhampiran sempadan perairan antarabangsa.

"Sebelum ini pos kawalan diselia oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) tetapi untuk pos di Pulau Ligitan ini, ia dikendalikan gabungan tiga agensi keselamatan (polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia).

"Kedudukan pulau ini di penghujung sempadan perairan antarabangsa menyebabkannya terdedah dengan kemasukan warga asing daripada Indonesia dan Filipina.

"Sehubungan itu, dengan adanya pos kawalan terbabit, ia diharap dapat mengekang kemasukan sebarang elemen yang berupaya mengganggu keselamatan di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE)," katanya.

Terdahulu, Hazani mengetuai seramai 140 anggota pelbagai jawatan di bawah ESSCOM melafazkan ikrar bebas rasuah (IBR) sambil disaksikan Ketua Cawangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Lahad Datu, Wan Kamal Noor Izwan Wan Kamaruddin.

114 dibaca
Berita Harian X