Khamis, 7 Disember 2017 | 7:12pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat. - Foto Adi Safri

Dua pelajar UTM dikesan Tibi

JOHOR BAHRU: Dua pelajar perempuan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, dikesan menghidap penyakit tuberkulosis (Tibi) atau batuk kering dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti bilangan pelajar yang terkena jangkitan.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata susulan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dan Kulai akan menjalankan saringan terhadap pelajar lain yang sekuliah dengan kedua-dua mangsa yang berusia 20-an itu.

Katanya, saringan itu juga akan dijalankan di asrama mangsa di Kolej Tun Fatimah dan Kolej Perdana bagi mengekang penularan penyakit itu.

"Saringan 'close contact' (berhubung secara langsung) ini akan dimulakan minggu depan dan setakat ini, bilangan pelajar yang dijangkiti penyakit itu belum dapat dikenal pasti. Kami masih berbincang dengan pihak UTM.

"Siasatan masih dijalankan oleh Bahagian Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dan Kulai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ayub berkata, pihaknya masih memantau kes itu dan pelajar yang dijangkiti penyakit berkenaan sudah diberikan rawatan secara Pengawasan Rawatan Jangka Pendek Secara Terus (DOTS).

"Kita nasihatkan pelajar ini supaya bercuti dan menjalankan pemeriksaan di klinik berhampiran selama enam bulan," katanya.

Ayub menasihatkan orang awam yang mengalami simptom batuk berpanjangan selama dua minggu supaya pergi ke klinik berdekatan bagi menjalani saringan.

1069 dibaca
Berita Harian X