Khamis, 7 Disember 2017 | 9:45pm
ANGGOTA APM dan penduduk mengangkat bantuan bekalan keperluan makanan kepada penduduk Rumah Panjang Luing yang terputus hubungan akibat jalan runtuh. -Foto ihsan APM
ANGGOTA APM dan penduduk mengangkat bantuan bekalan keperluan makanan kepada penduduk Rumah Panjang Luing yang terputus hubungan akibat jalan runtuh. -Foto ihsan APM

Jalan runtuh, penduduk rumah panjang putus bekalan

BETONG: Lebih 150 penduduk Rumah Panjang Luing, di sini, terpaksa meminta bantuan untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas berikutan jalan ke kediaman mereka runtuh sejak beberapa hari lalu.

Kerosakan jalan berkenaan dikatakan sudah dibaiki oleh penduduk sebelum ini, namun keadaan bertambah serius sejak beberapa hari lalu akibat hujan lebat berterusan.

Berikutan itu, jalan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan kecuali motosikal.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Mej (PA) Ismail Mahedin, berkata bagi meringankan beban penduduk, pihaknya menghantar bekalan makanan, hari ini.

Beliau berkata, turut serta dalam misi penghantaran bantuan itu, empat kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Betong.

"Kami terpaksa memikul bantuan itu bermula jam 2.30 petang kerana tiada laluan lain untuk kenderaan menghampiri rumah panjang itu.

"Selain 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk rumah panjang bersama-sama mengangkat bekalan keperluan asas yang dibekalkan.

"Kerja menghantar bekalan itu selesai pada jam 4.30 petang tadi," katanya.

Ismail berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sudah menjalankan kerja membaiki jalan berkenaan hari ini, bagi membolehkan penduduk keluar dengan kenderaan kecil.

129 dibaca
Berita Harian X