Khamis, 7 Disember 2017 | 10:33pm
- Foto hiasan

Lagi gajah mati akibat ditembak

SANDAKAN: Seekor lagi gajah mati, Rabu lalu, dipercayai akibat ditembak pemburu haram di Ladang Duta, di Telupid, dekat sini.

Gajah jantan berusia 10 tahun itu dilaporkan mati akibat kecederaan teruk pada mulut dipercayai kesan daripada tembakan, beberapa hari selepas diselamatkan pasukan penyelamat Jabatan Hidupan Liar dari ladang berkenaan.

Difahamkan, pekerja di ladang itu melaporkan kejadian terbabit kepada Jabatan Hidupan Liar sebaik menyedari kehadiran seekor gajah yang cedera dalam kawasan ladang.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata gajah terbabit dipercayai ditembak beberapa hari lalu, sebelum dibawa pasukan penyelamat ke Santuari Gajah Borneo (BES) di Kinabatangan untuk rawatan.

"Kejadian ini memang benar dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kematian gajah itu," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Bulan lalu, bangkai seekor gajah jantan dengan tiga kesan tembakan ditemui di Ladang Cenderamata, Jalan Merotai-Kalabakan, di Tawau, dipercayai ditembak pemburu haram.

Pada September lalu, dua bangkai gajah Pygmy Borneo dengan satu daripadanya dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya ditemui di lokasi berasingan di Tawau dan Kinabatangan.

Kes pertama membabitkan penemuan bangkai anak gajah jantan pada 10 September di Dumpas, Tawau.

Bangkai gajah kedua ditemui di Sungai Kinabatangan dua minggu kemudian, dipercayai angkara dibunuh pemburu haram berikutan gadingnya dipotong, sebelum bangkai haiwan berkenaan dibuang ke sungai.

Awal Ogos lalu, seekor gajah betina ditemui mati dengan kesan tembakan dalam sebuah ladang sawit berhampiran Hutan Simpan Malua dekat Kinabatangan.

315 dibaca
Berita Harian X