Selasa, 19 Disember 2017 | 4:26pm
KETUA Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg (tengah) menyaksikan wakil pertubuhan masyarakat China (kiri) negeri ini memberikan cenderahati kepada Fu Jijun (kanan) di majlis meraikan Konsulat Besar China di Kuching itu yang akan bertukar bertugas di negara lain. - Foto Sandra Albertz

China rakan dagang paling akrab

KUCHING: Sarawak berpotensi muncul sebagai pengeluar tenaga utama di peringkat serantau melalui usaha penerokaan dan pembangunan pelbagai sumber tenaga baharu, sekali gus membantu memperkukuhkan kedudukan ekonomi negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata sumber tenaga baharu itu termasuk hidrogen, malah kerajaan negeri berhasrat membina sebuah loji pengeluarannya di bandar raya ini menggunakan teknologi China yang kosnya lebih murah.

"Kita sudah melihat loji pengeluaran hidrogen (yang dihasilkan dalam molekul air) di Jerman dan China. Malah, kedua-dua negara menggunakan teknologi sama, namun kos pengeluaran sumber tenaga baharu itu lebih murah di China.

"Justeru, kita memutuskan agar loji pengeluaran hidrogen yang akan kita bina tidak lama lagi (di Kuching) menggunakan teknologi dan kepakaran China," katanya selepas menghadiri Majlis Perpisahan Konsul Besar China Di Kuching, Fu Jijun, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Pembangunan Tenaga Sarawak tidak mendedahkan secara terperinci cadangan pembinaan loji hidrogen itu, namun menyatakan teknologi China lebih ringkas dan mudah dikendalikan.

"Teknologi Jerman terlalu canggih dan agak rumit. China pula lebih maju, malah sudah 17 tahun mengeluarkan tenaga hidrogen menggunakan teknologi yang lebih ringkas dan mudah. China juga memiliki loji yang berupaya memisahkan hidrogen dan oksigen dari air menggunakan proses alkaline.

"Jika perancangan berjaya dilaksanakan, Sarawak bakal muncul sebagai pengeluar hidrogen dari sumber air di rantau ini, yang boleh digunakan sebagai bahan api kenderaan seperti di kebanyakan negara maju," katanya.

Selain teknologi tenaga hidrogen, Abang Johari berkata, kerajaan negeri juga sedang meneliti keupayaan teknologi kereta api dan rel magnetik China bagi pelaksanaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Bandaraya Kuching.

"Kita sudah melihat bagaimana kereta api dan rel magnetik dipasang di China. Justeru, kita berhasrat menggunakan teknologi anda (China) untuk LRT di Kuching. Ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan dalam proses baik pulih dan selenggara (MRO) teknologi itu dalam kalangan anak tempatan," katanya.

Malah, beliau juga sudah bertemu dengan pengurusan atasan Bank Of China dalam lawatannya ke negara itu baru-baru ini bagi membincangkan program kerjasama, terutama membabitkan pasaran modal berikutan kedudukannya yang kukuh dalam pasaran kewangan di Frankfurt, New York dan London.

"China Development Bank (CDB) juga boleh bekerjasama dengan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) kerana kedua-duanya bank pembangunan bagi mendapatkan dana kewangan dari pasaran kapital," katanya.

Abang Johari turut berhasrat mengadaptasikan mekanisme ekonomi digital negara berkenaan di Sarawak, khususnya dalam melaksanakan transformasi ekonomi di negeri ini.

"Menjelang 2021, sebanyak 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China akan diperolehi dari ekonomi digital. Sepanjang 2016, ekonomi digital menyumbang 35 peratus kepada KDNK negara itu bernilai AS$3.4 trilion (RM13.8 trillion).

"Untuk Sarawak, sekiranya kita memperoleh sekurang-kurangnya 0.4 peratus dari jumlah keseluruhan itu sudah cukup baik, khusus dalam memperlihatkan keberkesanan Dasar Ekonomi Digital dalam membawa transformasi kepada landskap sosio-ekonomi negeri," katanya.

96 dibaca
Berita Harian X