Khamis, 11 Januari 2018 | 12:27pm

Banjir: 6 sekolah ditutup di Pitas

PITAS: Enam sekolah ditutup manakala sembilan kampung di daerah ini terjejas akibat banjir susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Difahamkan, setakat ini penduduk Kampung Rukom Ulu sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom sejak pagi tadi, namun jumlah mangsa belum diketahui kerana proses pendaftaran masih dijalankan.

Lapan lagi kampung yang terjejas ialah Salimpodon Darat, Sibaung, Kebatasan Laut, Sulakolung Kanibongan, Kutoyon Kanibongan, Masin Besar Kanibongan, Kanibingan dan Mandamai.

Pegawai Daerah Pitas, Bubudan OT Majalu, berkata enam sekolah ditutup ialah SK Kanibongan, SK Dalas, SK Kusilad, SK Sosop, SK Pandan Mendamai serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanibongan.

"Dua jalan dinaiki air iaitu Jalan Langkon-Pitas berhampiran Kampung Tambilidon dan Jalan Langkon-Pitas berhampiran Kampung Pinggan-Pinggan namun kedua-dua laluan masih boleh dilalui kenderaan.

"Bagaimanapun, satu lagi jalan terputus iaitu Jalan Ladap-Kinangoh yang tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Bubudan berkata, pusat kawalan operasi bencana daerah juga telah dibuka pada jam 9 pagi tadi dan orang ramai boleh menghubungi talian 088-615520.

"Dua sungai di daerah ini iaitu Sungai Bengkoka dan Kebatasan juga berada pada paras amaran," katanya.

339 dibaca
Berita Harian X