Jumaat, 12 Januari 2018 | 3:01pm

Maklumat awam bantu kekang lanun rimba

SIBU: Tindakan pantas orang awam menyalurkan maklumat kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya melumpuhkan operasi sindiket pembalakan haram di Sungai Kijang berhampiran Hulu Mador, Bintangor di sini, Rabu lalu.

Keseluruhannya, 67 kayu balak pelbagai saiz dan spesies turut dirampas dalam serbuan itu, dengan sebahagian besarnya sudah siap diproses dan hanya menunggu masa untuk dibawa keluar dari kawasan pembalakan haram berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton, berkata pemeriksaan mendapati kayu balak itu tidak memiliki sebarang dokumentasi, termasuk cop rasmi daripada agensi berkaitan yang membenarkan ia ditebang atau diproses.

"Laporan polis mengenai kes ini sudah dibuat di Balai Polis Bintangor. Kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Hutan bagi siasatan lanjut dan pelupusan" katanya dalam satu kenyataan media, di sini pagi tadi.

Zolkipli berkata, kejayaan serbuan itu turut membabitkan kerjasama agensi berkaitan, termasuk Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

"Justeru, lebih banyak operasi bersepadu akan diadakan bersama JHS dan agensi penguatkuasaan lain pada masa depan dalam mencapai sasaran sifar pembalakan haram di negeri ini," katanya.

148 dibaca
Berita Harian X