Jumaat, 12 Januari 2018 | 3:18pm
DATUK Hasnan Hassan (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Datuk Gan Tian Kee (kiri) dengan Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman di Mes Pegawai Kanan Polis, Ipoh. - Foto NSTP/Abdullah Yusof

Yahya mula tugas Ketua JSJ Perak

IPOH: Bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman dilantik sebagai Ketua JSJ Perak yang baharu, berkuatkuasa hari ini.

Yahya, 58, menggantikan Datuk Gan Tian Kee, 59, yang bertukar jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan dan Pemalsuan/Jenayah Komplot) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas antara kedua-duanya disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan di Mes Pegawai Kanan Polis di sini, hari ini.

Yahya yang sebelum ini bertugas di IPK Selangor selama dua tahun memulakan kerjaya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 1988 dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Bukit Aman selama tujuh tahun.

Beliau ketika ditemui pada majlis berkenaan berkata, dirinya menghabiskan tempoh 28 tahun berkhidmat di kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi.

"Apabila dilantik sebagai Ketua JSJ Perak, saya berharap dapat meneruskan legasi Datuk Gan dan menggalas amanah dan tanggungjawab dengan baik menyelesaikan isu jenayah di negeri ini," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan turut diadakan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) negeri, Superintendan Mohd Radzuan Bachik yang digantikan Superintendan Mohd Azlan Sanusi.

Turut diadakan, serah terima tugas Ketua Polis Daerah Taiping yang sebelum dipangku Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Razlam Ab Hamid kepada Asisten Komisioner Mohamad Taib.

Dalam pada itu, isteri Yahya, Faridah Othman dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPK Perak menggantikan Datin Anges Wee Suan Neo, manakala isteri Mohamad, Hashimah Mohd Kamal dilantik sebagai Pengerusi PERKEP Taiping.

253 dibaca
Berita Harian X