Jumaat, 12 Januari 2018 | 4:53pm
DATUK Zahari Ibrahim.- Foto Faris Zainuldin
KAWASAN Hutan Simpan Ulu Galas, Gua Musang yang telah dicerobohi peneroka haram dengan penanaman pokok pisang. - Foto Ihsan Jabatan Perhutanan Kelantan

Orang Asli dilantik kawal hutan di Kelantan

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli akan dilantik sebagai pengawal hutan di Hulu Kelantan bagi menjaga kawasan itu daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Datuk Zahari Ibrahim, berkata ia pendekatan terbaru bagi mengatasi pencerobohan hutan yang menyebabkan pencemaran sungai dan hakisan.

Katanya, Orang Asli dipilih kerana mereka lebih tahu apa yang berlaku di kawasan penempatan mereka dan boleh melaporkan terus kepada jabatan berkenaan untuk tindakan.

"Sebelum ini pelbagai masalah timbul kerana Orang Asli mendakwa kurang pemantauan mengenai apa yang berlaku di perkampungan mereka.

"Jadi, apabila dilantik sebagai pengawal hutan nanti, mereka sendiri boleh menjadi mata dan telinga jabatan untuk mengatasi perkara terbabit," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Zahari berkata, isu penerokaan kawasan hutan di sekitar penempatan Orang Asli di pedalaman daerah ini dianggap serius dan perlu ditangani dengan bijak bersama agensi kerajaan lain.

Katanya, cadangan melantik Orang Asli sebagai pengawal hutan sudah dibincangkan dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana mereka akan diletakkan di bawah APM.

"Justeru, semua pintu masuk ke kawasan hutan simpan kekal akan dikawal sendiri oleh Orang Asli di situ sendiri. Kita berharap dapat menjaga khazanah hutan di sekeliling perkampungan mereka" katanya.

Pada masa sama, Zahari berkata, pihaknya turut melakukan operasi bersepadu bagi menangani masalah pencerobohan hutan.

351 dibaca
Berita Harian X