;
Jumaat, 12 Januari 2018 | 5:03pm
DATUK Seri Shafik Fauzan Sharif (kanan) memilih buah manggis pada Pelancaran Flag Off Manggis ke Eropah dan China di perkarangan Dewan Orang Ramai Telemong, Bentong. - Foto Mohd Rafi Mamat
KAKITANGAN Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menunjukkan buah manggis yang akan dieksport selepas Pelancaran Flag Off Manggis ke Eropah dan China di perkarangan Dewan Orang Ramai Telemong. - Foto Mohd Rafi Mamat

Manggis Bentong ke pasaran Eropah, China

BENTONG: Permintaan tinggi terhadap manggis dari pasaran Eropah dan China memerlukan lebih ramai pekebun mengusahakan tanaman itu di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif, berkata daerah ini kini pengeluar utama buah terbabit untuk pasaran luar negara berbanding Maran, Jerantut dan Raub.

Ketika ini, katanya, terdapat kira-kira 40 pekebun manggis mengusahakan kawasan tanaman seluas 200 hektar di daerah ini dengan Kampung Telemong menjadi pengeluar utama diikuti beberapa kampung lain di sini.

Beliau berkata, musim pengeluaran buah berkenaan adalah dua kali setahun dan kualitinya yang tinggi serta bebas bahan kimia menjadikan hasil tani berkenaan diterima baik rakyat di China.

"Malah, kita sudah menerima tempahan 500 tan menjelang sambutan Tahun Baru Cina bulan depan. Harga tinggi antara RM200 hingga RM400 sekilogram (kg) ketika ini juga menguntungkan pekebun," katanya.

Shafik Fauzan berkata demikian pada majlis Pelancaran Manggis ke Eropah dan China di Dewan Orang Ramai Telemong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad; Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mansor Omar dan Pemangku Pengarah FAMA Pahang, Rosli Aw Da.

Beliau berkata, manggis tempatan mula dipasarkan ke China sejak 2014, selepas dihantar ke Eropah lima tahun lalu dengan permintaan semakin meningkat sejak dua tahun lalu.

"Jabatan pertanian akan membantu petani yang bercadang menanam manggis secara komersial menggunakan benih berkualiti tinggi, sama seperti di Kampung Telemong," katanya.

Sementara itu, Mohd Noh Sani yang mengeksport manggis ke pasaran Eropah dan China, berkata syarikatnya hanya mampu mengeksport 25,000 tan manggis semusim ke dua pasaran berkenaan.

"Bekalan manggis banyak diterima dari pekebun di Kampung Telemong dan beberapa kampung lain di daerah ini. Saingan dengan pemborong negara jiran menyebabkan bekalan tidak mencukupi.

"Harga belian ladang untuk manggis kini mencecah RM12 sekilogram dan bagi pasaran tempatan ialah RM5 hingga RM8 sekilogram," katanya.

299 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »