Jumaat, 12 Januari 2018 | 8:21pm
Ketua Sekretariat Kolokium Manifesto Orang Muda, Datuk Armizan Mohd Ali (tengah) mempengerusikan mesyuarat penganjuran kolokium itu di Bangunan UMNO Sabah, hari ini.

Pemuda BN, Puteri UMNO Sabah anjur kolokium orang muda

KOTA KINABALU: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah dan Puteri UMNO Sabah akan bekerjasama menyelaraskan penganjuran Kolokium Manifesto Orang Muda pada Rabu depan di Hotel Tabung Haji (TH) Kota Kinabalu, di sini.

Ketua Sekretariat Kolokium Manifesto Orang Muda, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penganjuran kolokium itu bertujuan menghimpunkan pimpinan muda dalam BN Sabah bagi membincang dan merumuskan syor serta cadangan yang akan diangkat untuk pertimbangan kepimpinan parti dan kerajaan.

"Rumusan Kolokium Manifesto Orang Muda ini membabitkan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan dalam penggubalan manifesto BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Selain itu, ia juga akan menyentuh isu dan perkara membabitkan dasar dan program kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan", katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran kolokium itu di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Pemuda BN Sabah, Jasnih Daya, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO negeri, Mohd Bahrin Abd Karim, Penolong Bendahari Puteri UMNO Sabah, Salmie Sarinoh dan pemimpin pemuda parti komponen BN Sabah.

Armizan yang juga Ketua Pemuda UMMO Bahagian Papar berkata, Kolokium Manifesto Orang Muda ini sebahagian daripada siri interaksi sayap Pemuda BN dan Puteri UMNO Sabah dengan generasi muda pada pelbagai peringkat untuk mendengar serta membawa aspirasi mereka kepada pimpinan parti dan kerajaan.

Beliau berkata, kolokium menjadi kesinambungan daripada Siri Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Sabah yang dipelopori Pengerusi Pemuda BN Sabah yang juga Pengerusi Kolokium Manifesto Orang Muda, Yamani Hafez Musa.

Katanya, pada kolokium yang berlangsung selama sehari itu, pemimpin muda dari semua parti Komponen BN Sabah akan membawa suara dan aspirasi orang muda melalui siri interaksi akar umbi yang sudah dilaksanakan sebelum ini.

"Syor dan cadangan dikumpulkan melalui enam Siri Dialog TN50 Sabah setakat ini juga akan diperhalusi dan dirumuskan dalam kolokium ini. Siri Dialog TN50 bersama Yamani Hafez berlangsung di daerah Ranau, Kota Marudu, Kadamaian, Sandakan, Long Pasia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah akan diteruskan ke beberapa daerah lain pada tahun ini," katanya.

Armizan berkata, pada masa sama, jawatankuasa penganjur kolokium membuka ruang kepada generasi muda di Sabah mengemukakan aspirasi mereka untuk dibawa dalam sesi percambahan fikiran kolokium itu.

Beliau berkata, syor dan cadangan boleh dikemukakan kepada sayap Pemuda BN dan Puteri UMNO Sabah atau dalam Iaman Page Facebook PPUN Sabah atau Yamani Hafez.

299 dibaca
Berita Harian X