;
Jumaat, 12 Januari 2018 | 9:11pm
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan program Hijrah Minda Antarabangsa Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) Siri 1 2018 bersama komuniti Islam di Masjid Sujud Al-Islam, Trang. - Foto Shahidi Shahidan

Kukuh perpaduan Islam, elak pengaruh ekstremis

TRANG (Selatan Thailand): Perpaduan sesama Islam tidak boleh sesekali dibiarkan lemah kerana ia berisiko membuka ruang kepada unsur ekstremis untuk bertapak.

Sehubungan itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu umat Islam melengkapi diri dengan ilmu yang sahih dalam menghadapi perubahan kesan daripada perkembangan globalisasi dan liberalisasi.

Selain itu, titah baginda, perkembangan teknologi yang sering memberi tafsiran yang pelbagai terhadap agama Islam harus di depani kerana perjuangan golongan ekstremis atau pelampau hanyalah untuk memenuhi kepentingan peribadi.

"Hindarilah sifat yang keji seperti mencemarkan nama baik, melaga-lagakan, mengeksploitasi dan mempolitikkan isu yang sensitif dan sebagainya.

"Dengan ini persefahaman positif akan dapat terus kekal hidup, dijaga dan dipelihara serta tidak disia-siakan dalam suasana makmur, malah kesatuan ummah juga menjadi kukuh dengan segala perancangan pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek berjalan lancar," titah baginda ketika merasmikan Program Hijrah Minda Antarabangsa Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) Siri 1 2018 bersama Komuniti Islam di Masjid Sujud Al-Islam, di sini.

Turut berangkat pada program anjuran MAIPs itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs turut menyampaikan sumbangan RM5,000 daripada MAIPs kepada Masjid Sujud Al-Islam untuk tujuan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan yang diterima Imam Hamzah Bay, selain sumbangan THB1,000 (RM124) setiap seorang kepada 80 pelajar anak yatim dan fakir miskin.

Terdahulu, Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis turut singgah di Sekolah Rendah Satun Santisuksa di daerah Langu di Satun, dekat sini dan merasmikan penamaan Bangunan Syed Sirajuddin Areeb Putra Perlis mengambil sempena nama anakanda bongsu baginda.

Keberangkatan baginda berdua disambut Timbalan Gabenor Wilayah Satun, Charuwat Kliengklao dan Pengerusi Pemegang Amanah sekolah, Hosali Marem.

Di sekolah berusia 12 tahun yang mempunyai kira-kira 1,000 pelajar itu, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM5,000 bagi mengecat semula bangunan Masjid Abi Sunan Al Asadi.

Turut berlangsung di sekolah sama ialah aktiviti Semarak Bahasa Melayu anjuran Institut Pendidikan Perguruan (IPG) Kampus Perlis bersempena program tahunan Ziarah Mahabbah MAIPs 2018 ke Wilayah Andaman.

151 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »