Sabtu, 13 Januari 2018 | 4:19pm
KAJIAN mengenai tanah runtuh di Bukit Kanada akan diserahkan kepada pejabat Residen Miri untuk tindakan lanjut. - Foto Kandau Sidi

JKR teliti isu tanah runtuh di Bukit Kanada

MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan kajian terperinci terhadap struktur tanah di Bukit Kanada, di sini, khususnya di laluan utama ke Muzium Sains Petroleum Miri yang sering berlaku kejadian tanah runtuh.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kejuruteraan Cerun JKR, Zaidi Daud, berkata kajian dijangka siap dalam tempoh terdekat oleh sekumpulan pakar geoteknikal dan cerun.

Katanya, laporan laporan lengkap mengenainya akan diserahkan kepada Residen Miri untuk tindakan lanjut.

Beliau menjelaskan hasil kajian itu penting bagi mengenal pasti mekanisme bersesuaian bagi mengelak risiko runtuhan berulang sehingga menjejaskan keselamatan orang ramai.

"Apabila kajian lengkap itu sudah selesai, kita akan serahkan ke Pejabat Residen Miri untuk langkah susulan.

"Ia bertujuan memastikan usaha mengatasi tanah runtuh itu mengikut prosedur yang ditetapkan,"  katanya selepas meninjau lokasi runtuhan itu, di sini hari ini.

Selain Bukit Kanada, katanya, kajian sama turut dilakukan di Kampung Lereng Bukit

Beliau menjelaskan JKR memberikan taklimat kepada penduduk di Bukit Kanada mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil untuk menangani kejadian tanah runtuh. 

"Taklimat itu akan berlangsung Isnin ini untuk memastikan penduduk memahami aspek keselamatan dan persiapan untuk menghadapi tanah runtuh atau hakisan tanah." katanya.

322 dibaca
Berita Harian X