;
Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:57pm
MANGSA banjir beratur mengambil juadah di pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Sungai Miang. - Foto Farizul Hafiz Awang
ANTARA mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Permatang Keledang. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir di Pahang semakin bertambah

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di negeri ini susulan hujan berterusan sejak kelmarin, meningkat kepada 1,665 orang daripada 426 keluarga yang ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah, sehingga 10 malam tadi.

Angka itu bertambah berbanding seramai 1,564 orang membabitkan 406 keluarga ditempatkan di 17 PPS pada jam 5 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata Pekan masih daerah paling ramai mangsa iaitu membabitkan seramai 1,307 orang daripada 327 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS.

"11 PPS berkenaan adalah SK Sinar Mutiara yang menempatkan seramai 375 mangsa daripada 94 keluarga; SK Permatang Keledang (322 mangsa, 81 keluarga); SMK Peramu Jaya (136 orang, 35 keluarga); SK Temai (93 orang, 24 keluarga) dan Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang, 22 keluarga).

"Selain itu, PPS lain ialah SK Merchong Jaya membabitkan seramai 84 mangsa daripada 15 keluarga; Pusat Pemindahan Kampung Lamir (55 orang,lapan keluarga); SK Sri Biram (73 orang, 21 keluarga); Dewan Serbaguna Tanjung Pulai (39 orang, 14 keluarga); SK Seri Terantang (46 orang, 9 keluarga), SK Acheh (9 orang, dua keluarga)," katanya di sini, hari ini.

Zainal berkata, jumlah mangsa di Rompin juga meningkat kepada seramai 293 mangsa daripada 81 keluarga masih ditempatkan di empat PSS.

"Empat PPS berkenaan adalah di Balai Raya Setajam yang menempatkan seramai 127 orang daripada 33 keluarga; Dewan Orang Ramai Leban Chondong (71 orang, 22 keluarga); SK Tekek (63 orang, 15 keluarga) dan Dewan Serbaguna Desa Wawasan Kampung Pianggu (32 mangsa, 11 keluarga).

"Di Raub, banjir kilat yang berlaku sejak pagi tadi menyebabkan sebuah PPS dibuka iaitu Masjid Jamek Kampung Kuala Semantan yang menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 10 malam, bacaan paras air di tiga sungai di negeri ini melepasi tahap amaran atau jingga yang boleh menyebabkan kawasan sekitar dinaiki air.

Tiga sungai berkenaan adalah Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, di sini dengan bacaan 29.42 meter (30.00 meter paras bahaya), Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan 10.29 meter (10.30 meter paras bahaya) dan Sungai Belat di Seri Damai di sini 14.46 (5.00 meter paras bahaya).

532 dibaca
Berita Harian X