Ahad, 14 Januari 2018 | 8:34am
PUSAT pemindahan sementara Dewan Kampung Lutong, Sebangan di Sarawak menempatkan 96 mangsa banjir. - Foto Ihsan BOMBA

Banjir Sarawak terkawal

KOTA SAMARAHAN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di negeri ini meningkat 31 orang berbanding 65 orang semalam.

Sehingga jam 8 pagi ini, seramai 96 mangsa dari 25 keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Lutong, Sebangan dalam daerah Sebuyau.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, semua mangsa adalah penduduk Kampung Skitong, Sebangan.

"Keadaan di pusat pemindahan adalah terkawal dan pemantauan berterusan dijalankan di kampung yang dilanda banjir itu," katanya.

Beliau berkata, bacaan paras air di sembilan stesen telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga menunjukkan keadaan terkawal dengan hanya satu mencatat bacaan menaik pagi ini iaitu di Stesen Muput, Bintulu.

Empat stesen menunjukkan bacaan menurun iaitu Rumah Abua dan Tubau di Bintulu, Ukong di Limbang serta Long Panai di Miri.

Empat stesen pula menunjukkan bacaan mendatar iaitu Asajaya Water Intake di Kota Samarahan serta Long Jegan, Kuala Tutong dan Batu Niah Bazaar di Miri.

Sementara itu, beliau berkata seramai 20 penduduk dari enam keluarga masih ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Lereng Bukit di Miri.

Penduduk terbabit terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara itu selepas kediaman mereka terjejas akibat lereng Bukit Kanada runtuh pada 7 Januari lalu.

142 dibaca
Berita Harian X