Ahad, 14 Januari 2018 | 12:25pm
NIK Rodi Nik Soh, membuang air yang bertakung di dalam bot miliknya sambil dibantu anak-anak, selain memeriksa jika berlaku kebocoran sebagai persediaan bagi kegunaan ketika banjir.
KEADAAN air sungai Golok di Pengkalan Gergaji selepas paras air melebihi paras bahaya, hari ini.

Beli perahu untuk kegunaan ketika banjir

RANTAU PANJANG: Pengalaman menghadapi bah besar pada 2014 dengan tiada sebarang pengangkutan sesuai, mendorong seorang penduduk membeli sebuah perahu khas untuk digunakan setiap kali banjir.

Nik Rodi Nik Soh, 41, yang tinggal berdekatan Sungai Golok sudah mula mengemas dan memeriksa perahu yang dibelinya dari Takbai, Thailand itu jika ada berlaku kebocoran dan sebagainya.

Katanya, perahu yang mampu memuatkan sehingga 15 penumpang itu dibeli empat tahun lalu berharga RM2,500 bagi kegunaan dia sekeluarga yang setiap tahun berhadapan banjir kerana jarak rumahnya terlalu hampir dengan Sungai Golok.

"Saya bimbang banjir mungkin berlaku lagi melihat kepada keadaan cuaca yang tidak menentu selain paras Sungai Golok yang semakin meningkat.

"Banjir di rumah saya mencapai paras dua meter sekali gus menyukarkan kami bergerak atau keluar, mendorong saya membeli perahu ini. Lagipun, tidak rugi beli perahu kerana banyak kegunaannya nanti.

"Sebelum ini sudah ada perahu yang agak kecil dan mampu membawa 10 penumpang, namun tanpa berfikir panjang membeli sebuah lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cabang Tiga, di sini.

Nik Rodi berkata, mereka sekeluarga kini sudah bersiap sedia bagi menghadapi gelombang banjir yang ketiga kerana paras Sungai Golok sudah melepasi paras bahaya.

"Saya berharap banjir kali ini tidaklah memudaratkan tetapi akan bersiap sedia awal mengemas rumah dan menyimpan dokumen penting bagi menghadapinya," katanya yang hampir setiap tahun menghadapi masalah banjir.

Sementara itu, paras air Sungai Golok melebihi paras bahaya sejak malam tadi selepas hujan lebat selama tiga hari.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 11 pagi ini, paras air Sungai Golok pada bacaan 9.17 meter iaitu melepasi paras bahaya 9 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim berkata, berdasarkan paras air Sungai Golok tidak menentu selepas hujan lebat sejak beberapa hari menjadikan pihaknya bersiap sedia menghadapi banjir.

391 dibaca
Berita Harian X