Rabu, 14 Februari 2018 | 4:54pm
PENGARAH Kesihatan negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir (dua kanan) dan Ketua UMNO bahagian Pengkalan Chepa yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman (empat kiri) di majlis merenjis sebagai gimik perasmian permulaan pembinaan Klinik Kesihatan Penambang. - Foto Betty Subaryati

RM85j bina, ubah suai 15 klinik di Kelantan

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan memperuntukkan sebanyak RM85 juta untuk membina dan membaik pulih 15 Klinik Kesihatan di negeri ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir, berkata ketika ini lima klinik kesihatan baharu sedang dibina manakala 10 lagi klinik dalam proses kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diubah suai.

Katanya, antara lokasi Klinik Kesihatan baharu adalah di Tanah Merah, Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Tumpat dan Pasir Mas.

"Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamad yang meluluskan peruntukan besar kepada Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Solat Hajat untuk pembinaan Klinik Kesihatan Penambang di sini, hari ini. Majlis disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman.

Sementara itu, Zaluzi berkata, sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Parlimen Pengkalan Chepa beliau berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang meluluskan pembinaan Klinik Kesihatan Penambang.

"Dengan adanya pembinaan Klinik Kesihatan ini, lebih ramai penduduk akan menerima kemudahan kesihatan terbaik.

"Klinik Kesihatan Penambang bakal memberi kemudahan kepada 20,000 pesakit apabila pelbagai kemudahan kesihatan moden disediakan," katanya.

312 dibaca
Berita Harian X