Rabu, 14 March 2018 | 12:49pm

KTA minta pemandu bas pelancong patuh peraturan

KIULU: Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) memandang serius tindakan pemandu bas pelancong yang memandu secara berbahaya seperti rakaman dalam video yang menjadi viral, sejak semalam.

Video berdurasi satu minit itu menunjukkan sebuah bas pelancong memotong secara berbahaya hingga hampir menyebabkan kemalangan ketika melalui Jalan Kiulu-Tamparuli, di sini.

Presiden KTA, Dr Edmon Guntis, berkata pihaknya sehubungan itu akan bekerjasama dengan polis dan agensi berkaitan bagi menangani isu pemandu bas pelancong tidak beretika.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama pihak terbabit bagi memastikan ia tidak berulang.

"KTA memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan mereka berkaitan kes itu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu dan syarikat pemilik bas pelancong terbabit bukan ahli KTA, namun pihaknya akan menghubungi syarikat berkenaan selepas siasatan polis selesai.

Sementara itu, beliau mengingatkan ahli KTA supaya menasihatkan pemandu mereka atau pemandu lain yang membawa bas pelancong ke Kiulu supaya memandu mengikut peraturan jalan raya.

"Kita sudah menghantar peringatan itu kepada semua ahli KTA semalam. KTA juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak yang berkaitan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di Kiulu.

"KTA juga meminta kerjasama agensi pelancongan supaya pemandu mereka lebih berhati-hati apabila melalui jalan kampung. Kita juga mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai," katanya.

537 dibaca
SEBUAH bas pelancong memotong secara berbahaya hingga hampir menyebabkan kemalangan ketika melalui Jalan Kiulu-Tamparuli, Kiulu. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X