Ahad, 15 April 2018 | 12:30pm
TIGA khemah dilengkapi tiga kipas dan kain perhiasan diterbangkan ke sungai berhampiran sebelum karam.

Khemah terbang dalam sungai

BATU PAHAT: Ribut selama kira-kira 20 minit menerbangkan tiga khemah yang didirikan untuk majlis Pertubuhan Peladang Parit Raja di Kampung Parit Sagil, Ayer Hitam, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, tiga khemah dilengkapi tiga kipas dan kain perhiasan diterbangkan ke sungai berhampiran sebelum karam.

Video kejadian sempat dirakam seorang pekerja syarikat pemasangan khemah sehingga viral di media sosial sejak tengah malam tadi, memaparkan petugas gagal menyelamatkan khemah berkenaan.

Pemilik Ara Canopy, Mohd Sharani Aslin, 46, berkata ketika kejadian dia bersama 10 pekerjanya baru selesai memasang khemah berkenaan dan berehat di gerai berhadapan tapak majlis itu.

Katanya, tiba-tiba cuaca panas bertukar gelap sebelum ribut membadai kawasan itu disusuli hujan lebat.

"Melihat khemah hampir terangkat akibat ribut walaupun sudah dipancang di atas tanah dan diikat, kami terus ke khemah berkenaan untuk menyelamatkannya.

"Malangnya, selepas kira-kura 10 minit bertahan kami tidak mampu menyelamatkan khemah sebelum diterbangkan ke dalam sungai bersebelahan.

"Pada masa sama penduduk kampung mengarahkan kami menyelamatkan diri di surau berhampiran kerana ribut terlalu kuat dan bimbang kami terjatuh ke dalam sungai atau risiko terkena atap zink," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mohd Sharani berkata, semua khemah dan peralatan yang tenggelam di dasar sungai musnah sepenuhnya dengan kerugian kira-kira RM10,000.

Katanya, ini pengalaman pertama khemah dipasang syarikatnya musnah dibadai ribut sejak lima tahun terbabit dalam perniagaan memasang kanopi dan pengurusan acara.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua petugas dan kira-kira 30 penduduk kampung yang berada di lokasi tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Khemah dan peralatan yang musnah di dasar sungai sudah ditarik keluar dan kami memasang khemah baharu untuk majlis yang berlangsung pagi tadi," katanya.

3495 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »