Ahad, 15 April 2018 | 7:17pm
TEE Kah Yah (kanan) bersama keluarga di hadapan rumahnya yang menerima bantuan baik pulih sempena Program Pemimpin bersama Rakyat di Rumah Rakyat Pedas, Rembau, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KHAIRY pada majlis penyerahan kunci kepada Tee Kah Yah di Rembau hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Warga emas jadi sukarelawan BN balas jasa

REMBAU: Pada usia 77 tahun, Tee Kah Yah tidak keberatan menjadi sukarelawan di bilik gerakan kawasan sepanjang pilihan raya ini sebagai membawa jasa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang membantu membaik pulih rumahnya.

Warga emas itu tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila rumah miliknya berusia hampir 30 tahun yang terbakar tahun lalu, siap dibaik pulih dengan peruntukan kerajaan.

Kediaman Kah Yah itu antara enam rumah di Rumah Rakyat Pedas, di sini, yang musnah dalam kejadian kebakaran pada 4 Ogos 2017, sebelum dibaiki semula membabitkan peruntukan berjumlah RM200,000.

"Orang sudah berbudi, biarlah saya berbahasa. Saya melakukan apa saja yang termampu dan diperlukan oleh jentera parti di bilik gerakan sepanjang tempoh berkempen.

"Saya ikhlas membantu untuk memastikan kemenangan BN. Lagi pun saya sentiasa menyokong kerajaan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah di sini, hari ini yang disempurnakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris.

Seorang lagi penerima, Mohd Danial Abdullah, 31, berkata dia bersyukur apabila rumahnya semakin selesa untuk didiami selepas dibaik pulih yang pastinya tidak dapat dilakukannya jika tiada bantuan dari kerajaan.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, rumah berkenaan sebelum ini didiami bapa saudaranya yang kini sudah berpindah ke rumah lain dan dia berhasrat untuk tinggal di rumah itu bersama keluarganya selepas ini.

Sementara itu, Khairy berkata, penyerahan kunci itu bukan gimik politik sebaliknya ia adalah usaha beliau dan Zaifulbahri yang dimulakan selepas kejadian dengan memohon peruntukan dan melantik kontraktor melaksanakan kerja baik pulih.

"Kami mengambil tindak balas dan usahakan supaya masalah ini diselesaikan dengan cepat. Ini adalah bukti kerajaan prihatin bukan kerana nak pilihan raya tetapi ia sudah dilaksanakan sebelum itu lagi," katanya.

420 dibaca
Berita Harian X