Jumaat, 21 September 2018 | 12:47am
MASJID Teras Jernang di Bangi. - Foto Saifullizan Tamadi

SLIM inisiatif masjid wujud generasi imam berilmu

KAJANG: Masjid Teras Jernang di Bangi, di sini, memperkenalkan Skim Latihan Imam Muda (SLIM) kepada orang awam berminat sebagai inisiatif khusus melahirkan generasi imam berilmu, profesional dan berketrampilan.

Diwujudkan sejak awal tahun ini, inisiatif itu kini memasuki siri kedua dengan dengan peserta dibimbing menggunakan modul khusus bersifat menyeluruh, yang diwujudkan sendiri pengurusan masjid.

Nazir Masjid Teras Jernang, Mohd Yunus Aminuddin, berkata SLIM dijalankan sepenuhnya di masjid dengan penyediaan modul meliputi usaha mempersiapkan peserta dengan pengetahuan agama yang diperlukan untuk menjadi seorang imam.

“Keperluan dimaksudkan bukan sekadar untuk mengimamkan solat, malah turut meliputi kemahiran menguruskan kematian, mualaf atau saudara baharu serta pernikahan.

“SLIM dibuka untuk masyarakat awam yang berumur bawah 40 tahun dan bagi setiap siri, kita cuma mengambil maksimum empat pelatih supaya dapat dibimbing secara lebih terperinci daripada aspek teori dan juga amalinya,” katanya.

Mohd Yunus berkata, pihaknya turut mempelbagai fungsi masjid dengan membuka peluang kepada mahasiswa dan universiti sekitarnya untuk menjadikan Masjid Teras Jernang sebagai pusat latihan dan bimbingan.


NAZIR Masjid Teras Jernang, Mohd Yunus Aminuddin. - Foto Saifullizan Tamadi

Beliau berkata, inisiatif itu dimulakan sejak tahun lalu dengan pelatih dibimbing khusus kakitangan berpengalaman.

Katanya, walaupun berstatus masjid kariah, langkah proaktif itu diambil supaya fungsi masjid dapat dipelbagaikan, selain menggalakkan masyarakat khususnya generasi muda melihat sendiri gerak kerja di lapangan.

“Memandangkan lokasi masjid terletak berhampiran dengan beberapa universiti awam (UA) dan swasta, kami lihat mengapa tidak ia turut dibuka untuk latihan industri.

“Sebagaimana institusi atau syarikat korporat, kami turut memberikan elaun bulanan kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal di sini.

“Buat masa ini, ia dibuka untuk pelajar dalam tiga bidang khusus, iaitu kewangan, pengurusan masjid dan multimedia selari dengan kepakaran kakitangan sedia ada,” katanya kepada BH.

Pelbagai skim bantuan dan latihan


MENYEDIAKAN kelas bahasa Arab untuk ahli kariah. - Foto Saifullizan Tamadi

Mohd Yunus berkata, skim lain turut diwujudkan bagi membantu kariah seperti pinjaman peralatan bagi tujuan perubatan.

“Kita bersyukur kerana menerima sumbangan peralatan untuk digunakan orang awam yang terlantar sakit seperti kerusi roda dan katil fleksibel.

“Jadi, pihak masjid membenarkan pinjaman dibuat oleh individu atau keluarga yang memerlukannya dengan cara mudah, iaitu surat permohonan sebagai jaminan.

“Selain itu Masjid Teras Jernang turut memperkenalkan skim khairat kematian, skim bantuan pendidikan dan skim bantuan kecemasan bagi keperluan ahli kariahnya,” katanya.


PERKHIDMATAN wifi disediakan secara percuma. - Foto Saifullizan Tamadi

Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata, Masjid Teras Jernang berharap dapat memakmurkan pusat ibadat itu dengan menjalankan kolaborasi bersama pengusaha pusat tahfiz sekitarnya.

Masjid sedia memperuntukkan ruang dan kemudahan seperti bilik kuliah bagi melancarkan pembelajaran tahfiz, bahkan antara kelas bimbingan agama yang sedang dijalankan termasuk Kelas KAFA Menengah Masjid Teras Jernang di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) khusus untuk pelajar sekolah menengah.

Orang ramai yang ingin menyalurkan dana bagi tujuan pembangunan masjid boleh sumbangkan ke akaun Masjid Teras Jernang di 12029010002706 (Bank Islam).

Fakta

Masjid Teras Jernang

* Lokasi : Bangi, Kajang

* 25 tahun usia masjid

* 1993 - solat Jumaat pertama diadakan

* 2001 - bangunan baharu siap dibina

Berita Harian X