Khamis, 11 Oktober 2018 | 9:39pm
PUSAT Pemindahan Sementara di daerah Hilir Perak iaitu di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong. - Ihsan APM

Satu lagi PPS dibuka di Hilir Perak

TELUK INTAN: Bilangan mangsa banjir di daerah Hilir Perak meningkat kepada 202 orang daripada 56 keluarga sehingga jam 7.30 malam tadi.

Pertambahan bilangan mangsa banjir berikutan ada kawasan baharu dilanda bencana itu hingga memaksa pembukaan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Taman Desa Aman, Batu 6, Jalan Maharajalela, di sini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak berkata, setakat ini seramai 34 mangsa dari sembilan keluarga ditempatkan di PPS yang baru dibuka pada jam 5 petang tadi, berikutan banjir di kawasan Kampung Sri Jaya, Batu 7, Jalan Maharajalela.

Beliau berkata, PPS itu adalah yang kedua selepas PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong yang dibuka semalam.

“Banjir terbaru hari ini berpunca daripada limpahan air Sungai Perak dan air pasang besar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, PPS SK Changkat Jong pula kini menempatkan seramai 168 mangsa dari 47 keluarga.

Katanya, mangsa di situ adalah penduduk Kampung Batu 7, Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9.

“Punca banjir disebabkan limpahan air Sungai Bidor,” katanya.

186 dibaca
Berita Harian X