Jumaat, 12 Oktober 2018 | 12:00pm
AIR laut melimpah ke kawasan jeti nelayan berikutan fenomena air pasang besar ketika tinjauan di jeti Kampung Nelayan, Telok Gong. - Foto BERNAMA

20 rumah dinaiki air di Tok Muda, Kapar

KLANG: Kira-kira 20 buah rumah di Jalan Benteng dan Jalan Kenangan di Kampung Tok Muda, Kapar, di sini, dinaiki air berikutan hujan lebat serta air pasang besar yang berlaku awal pagi tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 6 pagi, berkenaan rumah penduduk di situ dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Beliau berkata, punca kejadian disebabkan hujan lebat sejak malam tadi sebelum air pasang yang melimpah melepasi benteng pada jam 7.31 pagi ini.

“Penduduk memaklumkan rumah mereka dinaiki air sehingga paras lutut kira-kira jam 6.00 pagi tadi berikutan hujan lebat.

“Ia juga disebabkan paras air pasang yang direkodkan pada jam 7.31 pagi dengan ketinggian 5.1 meter disusuli hujan lebat pada jam 8.30 pagi tadi.

“Setakat ini tiada arahan perpindahan dibuat. Penduduk yang terjejas hanya keluar dari rumah menunggu sehingga air surut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersama beberapa agensi lain akan terus membuat pemantauan di kawasan terjejas banjir kilat.

Samsol Maarif turut menasihatkan penduduk yang terjejas supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.

158 dibaca
Berita Harian X