Jumaat, 12 Oktober 2018 | 8:50pm
LZS menawarkan sebuah rumah di Flora Damansara kepada tujuh ahli keluarga daif berteduh di bawah jejambat sekitar kawasan Desa Park City, Kepong, sejak dua bulan lalu.

LZS tawar inap desa kepada keluarga daif bawah jambatan

KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menawarkan sebuah rumah inap desa di Flora Damansara kepada tujuh ahli keluarga yang hidup dalam keadaan daif dengan berteduh di bawah jejambat sekitar kawasan Desa Park City, Kepong, sejak dua bulan lalu.

Pegawai Agihan Zakat LZS, Ramli Osman, berkata ketua keluarga itu, Ali Alia sudah bersetuju untuk mendaftar masuk inap desa itu malam nanti.

Katanya, pihaknya berharap ia sedikit sebanyak dapat memberi ruang yang lebih selesa kepada keluarga itu termasuk lima kanak-kanak yang masih bersekolah untuk mengulang kaji pelajaran.

“Pada masa sama, kita ada hulurkan sumbangan wang tunai RM500 untuk ringankan beban keluarga itu dalam pertemuan empat mata bersama keluarga berkenaan sebelum ini.

“Kita tawarkan rumah inap desa kepada mereka. Kalau ikut persetujuan dengan keluarga itu, mereka akan daftar masuk malam ini.

“Aspek bayaran dan perkara berkaitan saya dan pihak LZS akan selesaikan esok. LZS komited untuk terus memelihara kebajikan anak Selangor yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Terdahulu, foto keluarga itu tinggal di bawah jejambat terbabit ditularkan seorang pengguna Facebook, Amaliah Ibrahim yang juga adalah guru kepada salah seorang ahli keluarga itu.

Amaliah mendakwa khemah kecil di bawah jejambat itu adalah tempat berteduh buat salah seorang anak muridnya yang sudah beberapa hari tidak hadir ke sekolah.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam satu kenyataan hari ini menyebut Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP melawat keluarga berkenaan pada 22 September lalu.

Katanya, mengikut maklumat diterima, keluarga itu berhadapan dengan masalah kewangan yang menyebabkan kesukaran untuk memenuhi komitmen perbelanjaan bulanan.

“Kita ada keluarkan kenyataan sebelum ini, ia mendapat perhatian seorang individu yang mahu menawarkan sebuah pangsapuri di Flora Damansara tanpa membayar sewa.

“Namun, ia sedang diubah suai dan keluarga itu dijangka berpindah masuk ke pangsapuri itu 15 Oktober ini,” katanya.

Mengulas lanjut, MAIWP berkata pihaknya menawarkan Rumah Transit Baitulmal MAIWP kepada mereka namun ditolak ketua keluarga itu dengan alasan terpaksa berulang jauh untuk menghantar anak ke sekolah di kawasan Selangor.

“Bagaimanapun, Baitulmal MAIWP sudah menyalurkan bantuan kecemasan berjumlah RM1500.

“Memandangkan keluarga itu bermastautin di Damansara, Selangor, maka MAIWP berurusan dengan LZS.

“Kita dimaklumkan LZS akan menempatkan keluarga itu di sebuah rumah sebelum berpindah ke pangsapuri yang ditawarkan,” katanya.

511 dibaca
Berita Harian X