Selasa, 9 Oktober 2018 | 10:13pm

'90km sejam boleh membunuh'

• Had laju 90 kilometer sejam (km/j) untuk kenderaan berat tidak sesuai lagi diguna pakai di jalan raya negara ini khususnya kenderaan berat dengan muatan (BDM) lebih tiga tan

• Pakar desak kerajaan kaji semula had laju kenderaan berat selaras perkembangan semasa berikutan pertambahan jumlah kenderaan dan spesifikasi jalan

• Kementerian Pengangkutan cadang hukuman lebih berat termasuk gantung seumur hidup lesen memandu pemandu terbabit kemalangan hingga menyebabkan kematian

KUALA LUMPUR: Kadar had laju kebangsaan bagi kenderaan berat yang ditetapkan 90 kilometer sejam (km/j), dianggap tidak lagi sesuai diguna pakai di jalan raya negara ini khususnya yang memiliki berat dengan muatan (BDM) lebih tiga tan.

Pakar kejuruteraan mekanikal dan keselamatan jalan raya berpendapat had laju itu wajar dikurangkan kepada kadar lebih selamat dengan mengambil kira kedudukan momentum kenderaan berat di jalan raya yang ditentukan melalui kuantiti fizikal yang menggabungkan jisim dan had laju, selain faktor jumlah kenderaan semakin banyak di negara ini.

Menurut mereka, momentum penting kerana menentukan kadar impak diterima sekiranya berlaku perlanggaran, dengan lebih besar kadar momentum lebih besarlah impak perlanggaran diterima yang turut berisiko ‘membunuh’ pengguna. Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Dr Yusri Yusof, mengakui beberapa faktor menentukan risiko kemalangan termasuk spesifikasi jalan di negara ini, namun kajian saintifik lebih teliti perlu dilakukan bagi menentukan had laju lebih selamat mengikut kaitan momentum.


PENSYARAH Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM, Prof Dr Yusri Yusof.

Momentum standard

Mengambil contoh kenderaan biasa dengan berat purata 1,100 kilogram (kg), katanya, momentum standard dihasilkan pada kelajuan maksimum 120km/j adalah 36,667 kilogram meter per saat (kgm/s).

“Berpandukan kadar momentum 36,667 bagi kenderaan standard itu, maka had laju kebangsaan 90km/j hanya sesuai untuk kenderaan yang memiliki berat dengan muatan (BDM) tiga tan sahaja. Untuk BDM antara lima hingga 15 tan pula seharusnya lebih rendah.

“Kadar sebenar had laju bergantung kepada kadar momentum yang boleh diterima atau diserap oleh kenderaan standard dan ia turut bergantung kepada spesifikasi kenderaan.

“Sekiranya reka bentuk kereta (pengukur standard kenderaan di lebuh raya) boleh menerima hentaman momentum sehingga 120,000 kgm/s dengan risiko kematian minimum, had laju lori BDM tujuh tan boleh ditetapkan sehingga 60km/j. Ia masih jauh lebih rendah berbanding had laju kebangsaan ketika ini,” katanya kepada BH.

Nahas membabitkan kenderaan berat sering meragut korban, dengan terbaharu lima rentung apabila kereta dinaiki terbakar selepas terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, di Ipoh, Sabtu lalu.

Sementara itu, tinjauan BH mendapati papan tanda had laju kebangsaan di lebuh raya tidak lengkap apabila hanya memaparkan amaran 110km/j tanpa dinyatakan had laju khusus untuk kenderaan berat.


LIMA rentung apabila kereta dinaiki terbakar selepas terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, di Ipoh, Sabtu lalu. - Ihsan bomba

Kurangkan risiko kemalangan

Hentaman sebuah kereta seberat 1,100 kilogram (kg) dengan kelajuan 120 kilometer sejam (km/j) ketika kemalangan, sama seperti terjun dari tingkat 11 bangunan atau ketinggian 57 meter (m).

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJKR), Datuk Rosli Isa, berkata demikian bagi menggambarkan secara mudah kedudukan momentum dalam menentukan kadar had laju bersesuaian bagi sesebuah kenderaan di jalan raya.


KETUA Pengarah JKJKR, Datuk Rosli Isa. - NSTP/Abd Rahim Rahmat

Justeru, beliau yakin kesedaran mengenai status momentum dalam had laju termasuk bagi kenderaan berat, mampu mengurangkan risiko kemalangan termasuk kematian di jalan raya.

Katanya, walaupun peratusan kemalangan membabitkan kenderaan berat tidak setinggi motosikal, ia masih antara penyumbang sampingan kepada kes kemalangan maut yang direkodkan saban tahun.

“Kita ambil contoh perlanggaran di antara lori dan motosikal, risiko maut pasti lebih tinggi kepada penunggang motosikal berbanding pengguna kenderaan berat. Dengan kesedaran mengenai kaitan momentum dan had laju, risiko kemalangan boleh dikurangkan apabila setiap pengguna jalan raya memiliki kesedaran tinggi bahawa semakin laju pemanduan, nyawa diri dan orang lain berada dalam bahaya,” katanya.

Ambil kira empat faktor

Mengulas penepatan had laju kebangsaan, beliau berkata perkara itu di bawah bidang kuasa jawatankuasa khas di Kementerian Kerja Raya yang mengambil kira kira empat faktor utama, iaitu kawasan kepadatan penduduk di mana semakin ramai penduduk di sesebuah kawasan, semakin perlahan kadar had laju ditetapkan.

“Selain itu kadar had laju juga semakin perlahan apabila menghampiri plaza tol dan susur keluar. Faktor seterusnya ialah kedudukan geografi seperti angin lintang, kawasan berbukit atau berliku,” katanya.

Mengenai keadaan lebuh raya di negara ini, katanya, ia menepati spesifikasi cengkaman tayar kenderaan dengan kadar had laju 120 km/j, namun perlu diambil kira rekod kemalangan yang lebih tinggi di jalan persekutuan.


KETUA Pengarah LLM, Datuk Ismail Md Salleh. - Arkib NSTP

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md Salleh, berkata setakat ini belum ada cadangan untuk menyemak semula kadar had laju kebangsaan bagi kenderaan berat.

2535 dibaca
Berita Harian X