Khamis, 20 Julai 2017 | 6:17am
NILAI 07 JULY 2017. Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Abdul Khani (tengah) meraikan perasmian Hype Motorsports Hotel, di Bandar Baru Nilai bersama Pengarah Urusan dan Pegawai Eksekutif Forte Hospitality Management, Johari Mohd Yusof (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, YC Capital Consolidated, Choong Hin Seong Ketua (kanan) pada majlis itu di Nilai. STR/ADZLAN SIDEK ADZLAN SIDEK
NILAI 07 JULY 2017. Bilik yang berkonsepkan permotoran di Hotel Hype Motorsports, Bandar Baru Nilai, Nilai. STR/ADZLAN SIDEKADZLAN SIDEK
NILAI 07 JULY 2017. Bilik yang berkonsepkan permotoran di Hotel Hype Motorsports, Bandar Baru Nilai, Nilai. STR/ADZLAN SIDEKADZLAN SIDEK

Hotel konsep dunia permotoran dibuka

Nilai, Negeri Sembilan menjadi saksi pembukaan hotel butik berkonsep dunia permotoran pertama di Asia yang dikenali sebagai Hotel Hype Motorsports Nilai yang diuruskan Forte Hospitality Management Sdn Bhd.

Terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar Nilai, Hotel Hype Motorsports Nilai menawarkan 75 bilik yang direka unik berkonsepkan permotoran menerusi susun atur kerusi, katil dan paparan grafik.

Ia dihubungkan hanya sejauh 15 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta kira-kira 40 minit perjalanan ke ibu kota Kuala Lumpur.


HOTEL Hype Motorsports Nilai merupakan hotel butik pertama di Asia berkonsepkan dunia permotoran. - Foto Adzlan Sidek

Tawar 3 jenis bilik

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Forte Hospitality Management, Johari Mohd Yusof, berkata hotel berkenaan menawarkan tiga jenis bilik iaitu Standard, Superior dan Family yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pendingin udara, kunci pintu dengan kad sentuh, pengesan asap, akses internet Wi-Fi percuma serta televisyen yang lengkap dengan saluran siaran tempatan, saluran permotoran juga jadual harian penerbangan.

"Hotel butik pertama di Asia berkonsepkan dunia permotoran sepenuhnya ini menampilkan imej, gaya dan reka bentuk ruang dalaman dan luarannya yang menarik.

"Kita menawarkan bilik bertemakan lagenda permotoran dunia seperti pelumba pasukan Ferrari Formula Satu (F1) terkenal, Michael Schumacher selain pelumba motosikal terkemuka, Valentino Rossi, pelumba motocross Tony Cairoli, pemandu rali, Sebastian Loeb dan sebagainya.

"Bilik legenda dan bilik "premier" dilengkapi dengan kerusi urut untuk keselesaan pelanggan hotel," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Hotel Hype Motorsports Nilai di Nilai, Jumaat lalu.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Promosi) Datuk Seri Abdul Khani Daud.


HOTEL Hype Motorsports Nilai merupakan hotel butik pertama di Asia berkonsepkan dunia permotoran. - Foto Adzlan Sidek

Labur RM12 juta

Johari, berkata, pihaknya mengambil masa beberapa bulan untuk melakukan kajian terperinci serta merancang tema yang sesuai dan akhirnya mengambil keputusan untuk mengetengahkan konsep permotoran.

Katanya, Forte Hospitality Management melabur sehingga RM12 juta untuk melengkapkan Hotel Hype Motorsports Nilai yang kini menawarkan harga bilik dari RM150 hingga RM280 semalam.

"Belum ada lagi mana-mana hotel di Malaysia malah di negara Asia yang menampilkan konsep dunia permotoran dan ini peluang terbaik kepada kami untuk memperkenalkan konsep ini julung-julung kalinya kepada rakyat Malaysia dan Asia.

"Kami juga merancang membuka beberapa lagi hotel berkonsepkan ini di beberapa lokasi strategik seluruh negara sekiranya menerima sambutan baik daripada orang ramai," katanya.

Beliau berkata, Malaysia akan menjadi tuan rumah terakhir pada tahun ini menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) pada 29 September hingga 1 Oktober 2017 ini dan pihak hotel juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menawarkan pakej lengkap kepada mereka yang berminat menyaksikan Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2017.

Beliau berkata, sebaik saja pengunjung melangkah masuk ke ruang lobi hotel ini, mereka tentu sekali akan terpegun apabila melihat konsep permotoran diketengahkan daripada susun atur kaunter lobi, rekaan kerusi dan meja serta yang paling menarik turut menyediakan butik jualan produk berjenama terkenal dalam dunia permotoran.


NILAI 07 JULY 2017. Ruang makan yang berkonsepkan permotoran di Hotel Hype Motorsports, Bandar Baru Nilai, Nilai. STR/ADZLAN SIDEK.

Tawar pelbagai kemudahan

Melangkah kepada ruang kafe di Paddock Club pula, ia menawarkan pelbagai pilihan hidangan makanan halal, menu popular dalam dan luar negara yang disediakan oleh chef yang berpengalaman meliputi hidangan sarapan pagi hingga makan malam.

Ruang kafe itu juga boleh diubah suai sebagai ruang untuk apa jua jenis majlis seperti pelancaran produk baru, persembahan, aktiviti berkumpulan membabitkan syarikat korporat mahupun acara untuk seisi keluarga.


RUANG makan yang berkonsepkan permotoran di Hotel Hype Motorsports, Bandar Baru Nilai, Nilai. - Foto Adzlan Sidek

Malah ruang lobi yang luas itu turut mampu meletakkan apa jua jenis kenderaan atau motosikal untuk tujuan pameran.

Kemudahan lain disediakan termasuk kolam renang di atas bumbung, perkhidmatan menyewa motosikal atau kereta, perkhidmatan mencuci kenderaan atau motosikal kepada penghuni hotel (bergantung kepada terma dan syarat).

Kemudahan 'Pit Stop' yang terletak di bahagian lobi pula menawarkan pelbagai pilihan barangan cenderahati seperti kemeja-T, topi, rantai kunci, cawan dan aksesori asas untuk menunggang atau memandu.

Info: Hotel Hype Motorsports Nilai

  • Berkonsep dunia permotoran
  • Tawar 75 bilik berharga dari RM150 semalam.
1374 dibaca
Berita Harian X