Sabtu, 12 Ogos 2017 | 9:00am
REKA bentuk amat radikal, imej eksotik Itali hasilkan penampilan unik. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
BRUTALE 800 adalah model permulaan dalam barisan segmen 'naked' MV Agusta. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
MV Agusta Brutale 800. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
BRUTALE 800 didatangkan dengan kawalan cengkaman (TC) dan mod tunggangan (Normal, Sport, Rain dan Custom) boleh laras. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Karakter agresif Brutale 800

PERKARA paling menarik pada MV Agusta Brutale 800 2017, malah pada semua barisan model motosikal keluaran MV Agusta, pastinya adalah reka bentuknya yang amat radikal. Pengeluarnya, MV Agusta Motor SpA, sememangnya bijak dalam menggunakan imej eksotik Itali dalam penghasilan motosikal yang unik.

BH Auto berpeluang menunggang uji model ini minggu lalu, sumbangan pengedar rasminya di Malaysia iaitu Moto Varese Asiatic. Ini peluang yang dinantikan sejak Moto Varese Asiatic mengambilalih tanggungjawab sebagai pengedarnya pada akhir tahun lalu dan bertekad untuk memantapkan lagi khidmat selepas jualan jenama berkenaan.

Brutale 800 adalah model permulaan dalam barisan segmen 'naked' MV Agusta dengan enjin 798 cc, 3-silinder sebaris EFI berserta komponen sokongan tunggangan elektronik ride-by-wire. Ia berkemampuan menjana kuasa 109hp pada rpm 7,600 dengan tork maksimum 83 Nm pada rpm 7,600. Beratnya pula adalah 175 kilogram (kg).

Dengan tork yang tinggi, enjin berkuasa serta reka bentuk ringkas dan ringan, Brutale 800 menunjukkan karakter agak meresahkan ketika ditunggang perlahan, namun mula 'menggila' dan menyeronokkan apabila kelajuan melepasi 120 kilometer sejam (kmj). Ia seolah-olah tidak mahu penunggang berlembut dengannya dan sentiasa mendesak ditunggang secara agresif. Brutale 800 jelas brutal.

Meskipun daya kilasnya agak tinggi, namun pembukaan dan penutupan pendikit tidak langsung tersekat-sekat. Apatah lagi dengan 'quickshifter', ia membolehkan penulis menukar gear sambil memecut dengan amat lancar diiringi bunyi ekzos yang mengasyikkan. Akan tetapi, perlu berhati-hati jika terlebih pulas pendikit, tayar hadapan pasti terangkat ke udara.

Brutale 800 didatangkan dengan kawalan cengkaman (TC) dan mod tunggangan (Normal, Sport, Rain dan Custom) boleh laras. Terdapat empat mod pendikit dan lapan peringkat TC. Ia bergerak di atas penyerap hentakan boleh laras sepenuhnya, Marzocchi USD di hadapan dan Sachs di belakang.

Dari segi tunggangan, ia amat mudah dikawal dan dijiwai. Mengambil selekoh, mengelak lubang, mengharungi kesesakan dan memecut di jalan lurus, boleh dilakukan dengan bersahaja tanpa usaha keras. Ketika menunggang, Brutale 800 seolah-olah mengajak anda berlumba dengannya, bukan dengan orang lain. Ia seumpama memeras ugut penunggang untuk mengeluarkan semua skil tunggangan sebelum ia ketandusan keupayaannya.

Jika anda seorang yang gemar menunggang secara agresif dan berkeupayaan tinggi, Brutale 800 adalah model yang boleh dipertimbangkan. Harga atas jalan RM90,148.83 mungkin agak mahal jika dibandingkan segmen sama beberapa jenama lain, namun pengalaman menunggang model premium ini adalah sesuatu yang tidak ternilai.

Spesifikasi:

Enjin: 3-silinder sebaris; 4 strok; 12 injap; sejukan cecair

Kuasa: 109hp pada rpm 7,600

Tork: 83 Nm pada rpm 7,600

Sistem pengurusan kuasa: MVICS Ride-by-Wire; Kawalan Cengkaman 8 peringkat; Quickshifter

Kelajuan maksimum: 240 kmj

Berat: 175 kg

Kapasiti tangki: 16.5 liter

Brek: Sistem ABS Bosch 9

520 dibaca
Berita Harian X