Khamis, 24 Ogos 2017 | 11:45am
PENGERUSI Eksekutif Kumpulan NAZA World Group of Companies, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Hub Asia Barat Ferrari, Dieter Knechtel (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi NAZA Italia, Farid Sulaiman ketika memperkenalkan Ferrari 812 Superfast di Kuala Lumpur, hari ini.

Ferrari 812 Superfast diperkenal

KUALA LUMPUR: NAZA Italia, pengimport dan pengedar rasmi jenama Ferrari di Malaysia, memperkenalkan Ferrari 812 Superfast untuk pasaran tempatan.

Ferrari 812 Superfast adalah model supercar terbaharu dengan enjin di bahagian depan V12, yang mula diperkenalkan di Pameran Automotif Antarabangsa Geneva, Mac lalu.

Kereta Ferrari paling pantas setakat ini diperkenalkan kepada media oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan NAZA World Group of Companies, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Hub Asia Barat Ferrari, Dieter Knechtel, di sini, sebentar tadi.

Ferrari 812 Superfast membuka era baharu dalam sejarah enjin 12 silinder jentera Itali dengan kelajuan maksimum 340 kilometer sejam (km/j), manakala pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 2.9 saat dan 0 hingga 200 km/j (7.9 saat).

Ia menggunakan enjin V12 6.5 liter, yang menghambur 800 kuasa kuda (hp), sekali gus menjadi penanda aras bagi segmen kereta sport enjin depan yang mencapai kuasa maksimum 8,500 rpm.

Tork puncak bagi model ini adalah 718Nm pada 7,800 rpm dan 80 peratus daripadanya boleh dicapai pada 3,500 rpm.

Harga asas bagi Ferrari 812 Superfast adalah RM1,578,800.

840 dibaca
Berita Harian X