Ahad, 27 Ogos 2017 | 5:08pm
MERCEDES-BENZ S-Class AMG Line.

Mercedes-Benz S-Class baharu, sedan mewah unggul

MERCEDES-BENZ Malaysia memperkenalkan varian baharu bagi model S-Class, S 400 h AMG Line, bagi pasaran Malaysia, sedan mewah yang sesuai dengan personaliti dan citarasa tinggi.

Secara keseluruhannya, S 400 h AMG Line baharu ini ditawarkan dengan sisi yang sporty dengan gabungan elemen mewah, sofistikated dan unggul.

Menjelmakan lagi tahap sporty varian ini adalah talaan AMG, rim aloi ringan AMG bersaiz 19-inci dan juga dua corong paip ekzos yang membuatkan penampilannya cukup dinamik.

Dengan cakera brek berliang juga menjadikan S 400 h AMG Line lebih menarik dan pastinya menambahkan lagi prestasi varian ini.

Berkuasa tinggi

Meskipun mendapat banyak sentuhan baharu, elemen lain yang masih dikekalkan termasuklah lampu utama Projektor LED Adaptif dengan High Beam Assist serta lampu nyalaan siang LED, manakala bahagian belakangnya juga dipadankan dengan lampu kombinasi LED bersama lampu kabus.


ELEMEN dalaman lain masih dikekalkan termasuk tempat duduk balutan kulit dengan 12-cara pelarasan bersama fungsi memori dan haba pemanas.

Rangkaian kuasa pastinya menjadi tumpuan ramai apabila varian S 400 h AMG Line ini dilengkapi enjin 3.5 liter V6 enam silinder yang dipadankan dengan transmisi 7G-TRONIC.

Berdasarkan kuasa yang dimiliki, jentera ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 306 kuasa kuda (hp) pada 6,500 rpm dan tork 370 Nm antara 3,500 hingga 5,250 rpm.

Disokong motor elektrik, tork mampu ditambah sebanyak 250 Nm.

Sebagai sedan mewah, kuasa yang dimiliki amat menakjubkan apabila mampu memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.8 saat dan kelajuan maksimum mencapai 250 km/j.

Penggunaan bahan api pula agak cekap, sekitar 6.3 liter bagi setiap 100 kilometer.

Mewah dan sporty

Menjengah bahagian kabinnya pula, sentuhan harmoni dan elegan masih dikekalkan tetapi ditambah 'perasa' dengan elemen AMG yang cukup bergaya, ini termasuklah roda stereng sport pelbagai fungsi AMG, kekemasan kayu berwarna hitam berkilat serta pedal sport AMG.

Sebagai pelengkap kepada gaya mewah dan sporty, elemen dalaman lain masih dikekalkan termasuk tempat duduk balutan kulit dengan 12-cara pelarasan bersama fungsi memori dan haba pemanas, tempat duduk belakang yang turut boleh dilaraskan dan didatangkan dengan fungsi memori dan urut, Ottoman Base untuk tempat duduk penumpang serta kawalan COMAND tanpa wayar.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan butang penghidup enjin, fungsi start/stop, kawalan kelajuan, brek parkir elektronik, pedal penukar gear, kawalan pendingin hawa dwi-zon untuk tempat duduk hadapan dan belakang, bumbung matahari panoramik, pencahayaan ambien, map lights, keseluruhan empat soket kuasa dan perehat tangan di tengah untuk tempat duduk belakang.


TEMPAT duduk belakang yang turut boleh dilaraskan dan didatangkan dengan fungsi memori dan urut, Ottoman Base untuk tempat duduk penumpang serta kawalan COMAND tanpa wayar.

Dari segi infotainmen, S 400 h AMG Line dilengkapi dengan COMAND Online NGT 5 12.3 inci bersama SPLITVIEW, COMAND Controller, Touchpad, sistem bunyi Burmester dengan 13 pembesar suara, sistem hiburan individu bagi tempat duduk belakang, termasuk dua monitor 10-inci.

Ciri keselamatan tinggi

Kemewahan varian ini tidak lengkap dengan ciri keselamatan termaju, apabila ia dilengkapi dengan 10 beg udara, ASB dengan EBD, kamera undur, kawalan kestabilan, ISOFIX, sistem brek sendiri, bantuan kekal lorong, pengesan parkir hadapan dan belakang, amaran perlanggaran dan sistem bantuan titik buta.

S 400 h AMG Line ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans ialah RM598,888 dengan Mercedes-Benz Malaysia menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun bersama perbatuan tanpa terhad serta jaminan lanjutan dua tahun/tanpa perbatuan terhad.

Info:

Mercedes-Benz S 400 h AMG Line

- Harga atas jalan tanpa insurans RM598,888

- Enjin 3.5 liter V6 6-silinder dipadankan transmisi 7G-TRONIC

- 306 hp @ 6,500 rpm dan tork 370 Nm @ 3,500 hingga 5,250 rpm

- 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat

- Kelajuan maksimum 250 km/j

- Bahan api 6.3 liter bagi setiap 100 km

337 dibaca
Berita Harian X