Isnin, 28 Ogos 2017 | 7:13am
VOLKSWAGEN Tiguan Highline ketengahkan pemanduan selesa untuk perjalanan jauh. - Foto Yazit Razali
DENGAN tork 250 Nm, karektor SUV ini jelas berbeza daripada saingan lain. - Foto Yazit Razali

Tiguan baharu lebih sporty, dinamik

SATU perkataan yang boleh menggambarkan mengenai kenderaan utiliti sukan (SUV) Volkswagen Tiguan generasi kedua iaitu lebih menarik, dinamik dan sporty.

Peluang memandu uji hampir seminggu Tiguan Highline baru-baru ini memperjelaskan bagaimana penulis amat berpuas hati dengan rekaan, prestasi dan gaya pemanduan yang ditawarkan Volkswagen untuk model generasi kedua ini.

Tiguan generasi baharu ini dibina berasaskan platform modular MQB Volkswagen, iaitu platform yang sama digunakan untuk Golf Mk7.

Berbanding model sebelumnya, model baharu ini secara keseluruhannya dengan 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan jarak roda 77 mm lebih panjang.

Lebih sporty

Meskipun begitu, Tiguan generasi kedua ini sebenar mempunyai berat keseluruhan 50 kilogram lebih ringan dari model generasi pertama.

Berbanding model terdahulu yang direka agak konvensional dengan badan yang agak tinggi, model baharu ini dibina 33 mm lebih rendah sekali gus memberikan imej yang lebih sporty, kelihatan seperti sebuah hatchback dan tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa ia sangat sesuai untuk generasi muda.

Untuk varian yang dipandu uji penulis, Highline didatangkan dengan rel bumbung yang lebih menyerlah dan pintu tailgate model ini juga diberikan bantuan kuasa serta boleh dibuka menggunakan suis kawalan jauh pada kunci.

Bagi penampilan lebih ranggi, Highline pula didatangkan dengan rim 'Kingston' 18 inci disalut tayar Hankook bersaiz 235/55R18.

Dari segi dalaman pula, Highline tampil dengan upholsteri kulit 'Vienna' serta kemasan dengan grafik karbon pada papan pemuka dan panel pintu.

Apa yang menarik untuk diperkatakan adalah paparan informasi yang menggunakan paparan digital sepenuhnya Active Info Display dengan skrin bersaiz 12.3 inci.


SPEEDOMETER digital yang sofistikated kerana paparan navigasi boleh ditampilkan di tengah-tengah panel ketika memandu. - Foto Yazit Razali


MODEL generasi kedua sesuai untuk golongan muda. - Foto Yazit Razali

Skrin digital yang infomatif

Istimewa pada skrin informasi pada Tiguan ini, ia diberikan mod paparan off-road yang memberikan paparan sudut pusingan stereng pada bahagian kiri dan kompas pada bahagian kanan.

Speedometer digital yang ditawarkan juga sangat sofistikated kerana paparan navigasi boleh ditampilkan di tengah-tengah panel ketika memandu, selain ia boleh dikecilkan atau diperbesarkan.

Ciri tambahan lain yang diberikan pada varian tertinggi ini termasuk sistem penghawa dingin tiga-zon dengan kawalan berasingan pada kabin belakang, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta Bantuan Parkir 3.0 yang mampu memarkir SUV ini secara automatik sama ada pada kedudukan selari atau menegak.

Ruang tempat letak barang pula boleh memuatkan 615 liter, 145 liter lebih besar berbanding model sebelum ini. Ruang boleh diluaskan lagi kepada 1,655 liter dengan merebahkan tempat duduk bahagian belakang.

Prestasi responsif

Menggunakan enjin turbo dengan kapasiti kecil iaitu 1.4 liter TSI, ia mampu menghasilkan kuasa 150 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 250 Nm, dipadankan bersama kotak gear DSG enam-kelajuan dengan klac basah pemacu roda hadapan.

Dengan tork 250 Nm, karektor SUV ini jelas berbeza daripada saingan lain yang pastinya terasa agak berat ketika memecut dari kelajuan sekitar 70 hingga 80 kilometer sejam (km/j) hingga 130-140 km/j dan memerlukan gear rendah bagi mendapatkan rpm tinggi untuk mencapai tork puncak.

Selain itu, pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang diberikan kepada Tiguan juga memberi penjimatan bahan api yang ketara dengan Volkswagen mendakwa hanya 6.7 liter bagi 100 km (14.9 km/l).

Dari segi pemanduan, ia boleh dikatakan SUV yang amat mudah dikendalikan tidak kira di lebuh raya atau jalan biasa.

Pertukaran gear juga amat responsif dalam apa jua keadaan selain dan penulis berpeluang memecut sehingga 170 km/j tanpa merasa gegaran.

Secara kesimpulannya, rekaan luaran Tiguan baharu ini sangat menarik berbanding varian terdahulu, manakala teknologi yang diterapkan juga amat mengagumkan termasuk sistem keselamatan iaitu enam beg udara, Driver Alert System, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), ABS bersama bantuan brek dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.


REKAAN lebih sporty. - Foto Yazit Razali

Info:
Volkswagen Tiguan Highline

  • Harga jualan RM168,990
  • Enjin 1.4 liter TSI
  • Dipadankan dengan kotak gear DSG enam-kelajuan, klac basah pemacu roda hadapan
  • Kuasa 150 PS @ 6,000 rpm dan tork maksimum 250 Nm
  • Keselamatan : 6-udara, Driver Alert System, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), ABS bersama bantuan brek dan Isofix
597 dibaca
Berita Harian X